SEMPORNA : Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah terus mempertingkatkan usaha memerangi aktiviti penyeludupan minyak subsidi di perairan negeri menerusi operasi bersepadu yang dijalankan pada 3 hingga 4 November 2025.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohd Nazri Ibrahim berkata operasi berkenaan yang dijalankan sekitar perairan Pulau Boheian dan Tanjung Manimpa Semporna bermula jam 7.50 malam hingga 3.45 pagi itu melibatkan pasukan Unit Risikan Marin bersama bot ronda PPM Semporna. Hasil tindakan pantas, pasukan berjaya menumpaskan satu cubaan penyeludupan minyak dipercayai menuju ke negara jiran.
Dalam operasi tersebut polis merampas dua buah bot laju bersama enjin serta 112 gelen berisi petrol yang dipercayai cuba diseludup keluar. Dua lelaki warga asing turut ditahan bagi membantu siasatan.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM111,277.75. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti rangkaian serta dalang di sebalik kegiatan penyeludupan berkenaan.
ACP Mohd Nazri menegaskan PPM Wilayah 4 akan terus memperkukuh kawalan dan memperhebat risikan di kawasan sempadan maritim bagi mengekang aktiviti penyeludupan minyak dan barangan bersubsidi yang menjejaskan ekonomi serta keselamatan negara.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti penyeludupan atau pergerakan mencurigakan di kawasan perairan bagi membantu pihak berkuasa memastikan kedaulatan perairan Sabah terus terpelihara.
