LAHAD DATU:Pameran Sejarah Islam di Sabah dan Nusantara anjuran Sekretariat Kota Sufi Sabah akan dibuka pada 14 Disember ini dengan menampilkan koleksi manuskrip, peta lama, dan rekod warisan yang jarang dipamerkan kepada umum termasuk manuskrip berusia lebih 650 tahun yang menjadi bukti kegemilangan tamadun Islam di rantau ini.
Program akan berlangsung di Masjid Nurul Ittihad, Kampung Muhibbah, Lahad Datu dari jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang dan dirasmikan oleh Sahibus Samahah Datuk Ustaz Haji Bungsu @ Aziz Jaafar, Mufti Kerajaan Negeri Sabah.
Pengerusi Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah yang juga pengasas Tiga Satu Tiga Channel, Kefayatullah Malik, menyeru masyarakat Lahad Datu dan kawasan sekitar untuk hadir dan menyelami akar sejarah Islam yang membentuk wajah Sabah dan Nusantara pada hari ini. Menurut beliau, pameran ini bukan sekadar paparan artifak tetapi platform untuk mengembalikan masyarakat kepada jati diri bahawa kita datang daripada keturunan yang berilmu, beradab dan berdaulat.
Kefayatullah menjelaskan bahawa pameran ini merupakan kesinambungan daripada agenda Kota Sufi 3.0 yang kini membawa naratif lebih besar tentang identiti masyarakat Nusantara, asal usul, serta bagaimana warisan ulama, wali dan kesultanan telah membentuk perkembangan Islam dan peradaban di rantau ini.
Sebagai kemuncak program, pameran ini turut menampilkan pembentangan khas oleh Bonda Tun Suzana Hj Othman, Pengetua Sekretariat Kekeluargaan Syaikh Jumadil Kubra, bertajuk:
βSalasilah dan Legasi Syaikh Jumadil Kubra: Bapa Ulama, Waliyullah dan Raja Raja Nusantara, Abad Keempat Belas Hingga Kedua Puluh Masihiβ
Beliau akan mengupas peranan Syaikh Jumadil Kubra dalam jaringan keilmuan Islam, pengaruh spiritual beliau dalam pembentukan kerajaan kerajaan Islam Nusantara, serta bagaimana legasi tokoh ini terus mengalir dalam keturunan ulama dan pemimpin masa kini. Sesi pembentangan bermula jam 9.30 pagi dan dibuka kepada semua lapisan masyarakat.
Penganjur menekankan bahawa pameran ini adalah usaha strategik untuk memperkukuh kesedaran sejarah, memulihkan jati diri generasi muda dan memartabatkan kembali warisan Islam Sabah sebagai sebahagian daripada gugusan besar peradaban Nusantara.
Masuk adalah percuma.
Pertanyaan lanjut:
Ustaz Hilmi 017 918 0807
Cik Shafiyyah 017 657 0258
