KOTA KINABALU : Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah (PAKAS) merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, serta barisan jemaah kabinet baharu Kerajaan GRS.
Ucapan ini disampaikan oleh Kefayatullah Malik Aman, Pengerusi PAKAS, bagi pihak seluruh ahli pertubuhan sebagai manifestasi keyakinan terhadap hala tuju kepimpinan negeri.
Menurut Kefayatullah, pembentukan kabinet baharu ini membuka ruang segar untuk memperkukuh kestabilan politik Sabah, sesuatu yang amat diperlukan bagi menjamin kesinambungan pembangunan.
“Belia dan rakyat Sabah mengharapkan kepimpinan yang mantap, berwibawa dan konsisten. Kami yakin Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dengan pengalaman dan rekod pentadbiran yang telah terbukti, mampu mengemudi negeri ini dengan lebih tersusun pada penggal kedua ini,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa isu-isu asas seperti infrastruktur, jalan raya, bekalan air dan elektrik merupakan keperluan mendesak yang memerlukan penyelesaian strategik serta pelaksanaan yang berkesan.
“Kami percaya kerajaan GRS mempunyai keupayaan dan kesungguhan untuk menangani cabaran-cabaran ini secara tuntas, sekali gus memperkukuh kemajuan ekonomi negeri.
Dengan dasar yang stabil, hasil KDN Sabah sudah pasti berpotensi meningkat dan membuka lebih banyak ruang manfaat kepada rakyat,” tambahnya.
Kefayatullah menegaskan komitmen PAKAS untuk terus menjadi rakan strategik kepada kerajaan negeri dalam agenda pemerkasaan masyarakat, pembangunan sosial serta kesejahteraan rakyat.
“PAKAS akan terus memberikan sokongan terhadap teraju kepimpinan Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. Sabah memiliki potensi besar, dan dengan kepimpinan yang stabil serta pentadbiran yang berintegriti, masa depan negeri ini mampu digerakkan ke arah yang lebih gemilang,” katanya.
Beliau menutup kenyataan dengan keyakinan bahawa kabinet baharu ini akan berfungsi dengan penuh amanah dan profesionalisme demi memastikan Sabah terus melangkah ke hadapan dalam suasana politik yang stabil, progresif dan matang.
