
TUARAN : Pertubuhan Amal Kembara Aspirasi Sabah (PAKAS) mengambil tindakan tegas berhubung satu kenyataan berunsur penghinaan terhadap agama Islam yang tular di media sosial, melibatkan seorang individu dikenali sebagai Elviz Chris.
Menurut wakil PAKAS,Muhammad Qhaleed Abdullah, pihak mereka telah membuat laporan polis di Tuaran sekitar jam 11.00 malam tadi, selepas kenyataan berkenaan mencetuskan reaksi dan rasa tidak senang dalam kalangan masyarakat Islam.
Beberapa jam selepas laporan dibuat, sekitar jam 1.00 pagi tadi, pihak PAKAS telah bertemu sendiri dengan Elviz Chris bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung kenyataan yang dikeluarkan.
Dalam pertemuan tersebut, individu terbabit mengakui kesilapan, memberikan penjelasan mengenai punca kenyataan itu, dan menzahirkan permohonan maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam atas keterlanjuran tersebut.
PAKAS turut memaklumkan bahawa individu berkenaan telah mengemukakan permohonan maaf lebih awal melalui akaun Facebook peribadinya.
Namun, pihak pertubuhan tetap bertegas untuk bersemuka bagi memastikan penjelasan yang diberi bersifat ikhlas dan bahawa beliau benar-benar memahami sensitiviti serta kesan besar penghinaan terhadap agama di Malaysia.
“PAKAS menegaskan bahawa tiada ruang kompromi terhadap sebarang bentuk penghinaan atau ejekan yang menyentuh kesucian Islam. Setiap individu mesti bertanggungjawab atas tutur kata dan tindakan mereka, terutamanya di media sosial yang berpotensi mempengaruhi pandangan masyarakat,” menurutnya.
PAKAS dalam masa sama menyeru semua pihak agar menjadikan insiden ini sebagai pengajaran bersama, selain mengingatkan pentingnya menjaga keharmonian serta perpaduan antara agama dan kaum di negara ini.