
KOTA KINABALU: Persatuan Kadayan Sabah (PAADIAN) hari ini menyifatkan pemergian tragis Allahyarhamah Adik Zara Qairina Binti Mahathir yang disifatkan sebagai tragedi menyayat hati dan mendatangkan kesedihan mendalam kepada keluarga serta masyarakat Kadayan.
Menurut kenyataan oleh Setiausaha Agung PAADIAN, Mas Farisan Bin Salleh, pihaknya memohon agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Katanya, PAADIAN menyifatkan kehilangan ini sebagai satu ujian besar buat keluarga Allahyarhamah, dan mendoakan agar mereka terus tabah dan diberikan kekuatan.
“Sejak hari pertama pemergian Adik Zara pada 16 Julai 2025, PAADIAN bersama masyarakat Kadayan Sabah mengikuti rapat perkembangan kes berkenaan.
“Presiden PAADIAN ( Datuk Dr Yusof Yacob) bersama rombongan turut beberapa kali menziarahi ibu Allahyarhamah, dan pada 31 Julai 2025, bacaan tahlil khas telah diadakan serentak di semua zon PAADIAN meliputi Sipitang, Beaufort, Kuala Penyu, Papar dan Kota Kinabalu dengan kerjasama pengerusi dan imam-imam masjid serta surau,” katanya.
Beliau berkata, walaupun hampir tiga minggu telah berlalu, PAADIAN menyuarakan kebimbangan kerana masih belum ada sebarang keputusan siasatan diumumkan.
“PAADIAN menuntut agar siasatan dijalankan secara menyeluruh dari segenap aspek oleh pihak berwajib.
“Kami amat berharap dan yakin bahawa kes ini akan disiasat secara menyeluruh dan adil. Kami menunggu penuh sabar sebarang perkembangan rasmi,” katanya.
Mas Farisan berkata, PAADIAN turut menyeru seluruh masyarakat agar terus berdoa agar segala urusan siasatan dipermudahkan dan kebenaran dapat ditegakkan demi keadilan buat Allahyarhamah Adik Zara dan keluarganya.