
SANDAKAN : Seorang lelaki dan seorang wanita diberkas dalam operasi membanteras penagihan dadah menerusi Ops Tapis Narkotik yang digerakkan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, semalam.
Dalam tangkapan pertama sekitar jam 4 pagi, seorang lelaki ditahan di Balai Polis Sandakan selepas disyaki penagih dadah. Pada hari sama kira-kira jam 7.30 malam, pasukan polis meneruskan operasi di Kampung Forest dan berjaya menahan seorang wanita di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine (syabu) hasil ujian saringan awal air kencing. Mereka kini disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan ditahan di Lokap IPD Sandakan bagi tindakan lanjut.
Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP George B. Abd Rakman menegaskan, operasi berkenaan adalah sebahagian usaha berterusan pihak polis untuk membanteras kegiatan jenayah dadah di daerah itu.