TENOM : Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah terus memperkukuh komitmen dalam membanteras kehadiran pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi siri operasi penguatkuasaan di sekitar daerah Tenom dan Keningau.
Dalam operasi yang dijalankan antara 4 hingga 5 November 2025, seramai lapan individu ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Operasi bersepadu itu melibatkan 18 pegawai daripada Pejabat Imigresen Tenom dan Keningau. Hasil pemeriksaan terhadap 65 individu, seramai lapan warga asing ,masing-masing dari Filipina dan Indonesia ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah.
Menurut semakan awal, semua mereka disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.
Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof, menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau majikan yang melindungi atau menggaji PATI.
Beliau turut menyeru kerjasama masyarakat agar menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing, sambil menegaskan bahawa tiada sebarang kompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, khususnya berkaitan keselamatan negara.
