
LAHAD DATU: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) memperkukuh usaha membanteras pencerobohan dan jenayah rentas sempadan apabila menahan enam individu dalam satu operasi bersepadu awal pagi tadi.
Operasi yang berlangsung dari jam 1.30 pagi hingga 7 pagi itu dilaksanakan di sekitar Kampung Tanjung Labian hingga Kampung Tanjung Batu, melibatkan seramai 151 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi keselamatan serta penguat kuasa. Antara yang terlibat termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (MK ATB 2), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Lahad Datu, Polis Diraja Malaysia, Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) Lahad Datu, Pasukan Gerakan Udara (PGU) IPK Sabah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Majlis Daerah Lahad Datu (MDLD) serta Polis Bantuan FELDA.
Sepanjang operasi, sebanyak 83 rumah diperiksa membabitkan 463 individu. Enam daripadanya ditahan atas kesalahan di bawah Akta Imigresen dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.
Komander ESSCOM, CP Datuk Victor B Sanjos berkata, operasi bersepadu ini memberi mesej jelas bahawa pihak keselamatan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ancaman yang boleh menggugat ketenteraman di Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone).
“Operasi ini menjadi bukti bahawa rakyat sentiasa dilindungi, di samping amaran tegas kepada mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat keselamatan bahawa mereka sentiasa diperhatikan dan tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat, khususnya ATM melalui kehadiran Komander ATB 2, Brigedier Jeneral Abdul Munir Haji Abdul Rani yang bersama menjayakan operasi berkenaan.
Menurut beliau, operasi bersepadu seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa di seluruh ESS Zone bagi memastikan keselamatan awam terus terjamin.
“Saya menyeru masyarakat agar menjadi mata dan telinga di peringkat akar umbi dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan ke Pusat Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau aplikasi WhatsApp di 011-63311072,” tambahnya.