KOTA KINABALU: Seruan lantang tokoh advokasi Orang Kurang Upaya (OKU), Dr. Fatimah Sabrina Moahmmad, bahawa “OKU adalah aset strategik, bukan liabiliti” menjadi tumpuan utama Forum Jaringan Perkhidmatan Sosial anjuran Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS) di Hilton Kota Kinabalu, semalam.
Dr. Fatimah, seorang OKU fizikal dan mahasiswi Universiti Malaysia Sabah (UMS), menegaskan perlunya anjakan paradigma yang lebih berani, menyeluruh dan bersifat kolaboratif dalam usaha membina ekosistem sokongan untuk komuniti OKU di negeri ini.
Beliau menekankan bahawa jurang antara latihan, sokongan dan peluang pekerjaan masih ketara dan perlu ditangani melalui kerjasama rentas agensi yang lebih tersusun.
“Sebagai seorang OKU fizikal, saya melihat sendiri jurang yang wujud antara latihan, sokongan dan peluang pekerjaan. Sabah memerlukan ekosistem inklusif yang tidak lagi bergerak secara silo.
“OKU bukan liabiliti, kami adalah aset strategik dengan potensi dan nilai tersendiri. Kerjasama holistik rentas agensi adalah tanggungjawab moral serta nasional,” katanya pada forum bertajuk “Memperkukuh Kerjasama bagi Pembangunan Kemahiran dan Pekerjaan untuk OKU”,
Forum itu melibatkan panel daripada PERKESO, Kompleks Pemulihan OKU Kimanis serta Persatuan Rumah dan Perkhidmatan Cheshire Sabah, berfokus kepada keperluan menghubungkan latihan pemulihan dengan peluang pekerjaan sebenar, memastikan komuniti OKU tidak terpinggir daripada arus pembangunan ekonomi Sabah.
Dr. Fatimah, menambah bahawa hanya melalui tindakan kolektif dan penyelarasan sistematik, laluan kemahiran serta pekerjaan yang benar-benar bermakna bagi komuniti OKU dapat direalisasikan.
Beliau turut mendedahkan bahawa UMS kini menempatkan mahasiswa berstatus OKU dan universiti itu komited menyediakan sokongan akademik bersesuaian.
Menurutnya, dasar pengambilan sekurang-kurangnya satu peratus pekerja berstatus OKU turut diimplementasikan di UMS sebagai langkah memperkukuh budaya inklusif dalam institusi pendidikan tinggi.
Forum anjuran MPMS itu menghimpunkan agensi kerajaan, NGO, institusi pemulihan dan rakan industri sosial bagi mempertingkat jaringan perkhidmatan sosial negeri.
Sementara itu, MPMS menegaskan iltizamnya untuk terus memperkukuh sinergi sosial di Sabah, memastikan setiap golongan rentan — termasuk OKU — mendapat akses sokongan yang adil, inklusif dan berkesan.
Dengan kerjasama merentasi sektor yang semakin diperkukuh, Sabah diyakini berada pada landasan kukuh untuk membina masyarakat yang lebih progresif, inklusif dan berdaya tahan bagi semua.
