
KOTA KINABALU: Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAB KKIA) petang tadi kecoh selepas satu objek menyerupai bom tangan (hand grenade) ditemui di kawasan Balai Pelepasan Domestik dan Antarabangsa.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 1.40 petang apabila objek berwarna hitam itu dijumpai di atas tiang penghadang berhampiran pintu masuk balai berkenaan.
“Selepas menerima maklumat, pasukan keselamatan segera dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan memastikan kawasan tersebut berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang lelaki bersama seorang wanita meletakkan objek berkenaan sebelum beredar dari lokasi.
Pasukan Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah turut dipanggil bagi menjalankan pemeriksaan lanjut.
“Hasil pemeriksaan mendapati objek tersebut bukan bahan letupan, sebaliknya merupakan mainan kanak-kanak yang menyerupai bom tangan,” jelas Kasim.
Beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung insiden itu dan mengingatkan supaya berhati-hati serta tidak meninggalkan sebarang objek mencurigakan di kawasan awam.
Katanya, kerjasama orang awam dan pihak pengurusan LTAB KKIA amat dihargai dalam memastikan keselamatan di lapangan terbang sentiasa terkawal.