
{"remix_data":[],"remix_entry_point":"challenges","source_tags":[],"origin":"unknown","total_draw_time":0,"total_draw_actions":0,"layers_used":0,"brushes_used":0,"photos_added":0,"total_editor_actions":{},"tools_used":{},"is_sticker":false,"edited_since_last_sticker_save":false,"containsFTESticker":false}
KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) dan Pertubuhan Peladang Wilayah Persekutuan Labuan menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Mohd Razali Wahab atas pelantikan beliau sebagai Setiausaha Persekutuan Sabah yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
Ucapan itu disampaikan Pengerusi PPNS, Datuk Mohd Nazri Abdullah dan Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Wilayah Persekutuan Labuan, Datuk Ghazali Hassan, yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Putrajaya.
Kedua-dua pemimpin peladang itu menegaskan, pelantikan Mohd Razali adalah pilihan tepat kerana beliau memiliki pengalaman panjang dalam perkhidmatan awam, sekali gus diyakini mampu membawa nilai tambah kepada pengurusan dan pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Sabah.
Nazri berkata, Mohd Razali bukanlah nama asing dalam kalangan penjawat awam kerana telah berkhidmat lebih tiga dekad dalam pelbagai portfolio, termasuk di kementerian persekutuan dan agensi penting kerajaan.
“Dengan rekod perkhidmatan yang cemerlang, kami percaya beliau berupaya memperkukuhkan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Sabah, seterusnya menyelaras pelaksanaan dasar pembangunan negara di peringkat negeri dengan lebih berkesan,” katanya.
Ghazali pula menyifatkan pelantikan itu sebagai langkah strategik untuk memastikan koordinasi antara agensi Persekutuan di Sabah lebih tersusun, memandangkan kedudukan negeri ini yang luas serta kepelbagaian cabaran pembangunan luar bandar.
Jawatan Setiausaha Persekutuan Sabah merupakan kedudukan tertinggi wakil Kerajaan Persekutuan di negeri ini, yang berperanan menyelaras operasi dan pelaksanaan dasar semua kementerian, jabatan dan agensi pusat di Sabah.
Selain menjadi penghubung antara Putrajaya dan Kerajaan Negeri, jawatan itu juga penting dalam memastikan inisiatif pembangunan negara diterjemahkan secara berkesan untuk manfaat rakyat Sabah, khususnya dalam bidang infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan ekonomi.
Nazri dan Ghazali yang mengenali Mohd Razali turut berdoa agar Mohd Razali dikurniakan kekuatan serta kesihatan yang baik untuk melaksanakan tanggungjawab besar tersebut.
“Semoga Allah SWT melindungi dan memudahkan segala urusan beliau dalam menggalas amanah ini demi kepentingan rakyat Sabah serta keharmonian hubungan antara negeri dan Persekutuan,” kata mereka.