
KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Negeri Sabah, Briged Jeneral (Kehormat) Dato’ Jerry Ambuting Mohd Said menyelar kenyataan MUDA Sandakan yang menuding kelemahan infrastruktur sebagai punca utama gangguan elektrik di beberapa daerah termasuk Sandakan, baru-baru ini.
Beliau berkata, tindakan MUDA itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah memperlihatkan wajah sebenar parti berkenaan yang hanya pandai bersuara ketika hampir Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Kenapa hanya sekarang, bila PRN makin hampir, baru MUDA muncul dengan pelbagai kenyataan populis? Di mana suara mereka sebelum ini ketika rakyat berdepan pelbagai cabaran pembangunan?
“Janganlah hanya mencari publisiti murahan dengan mempolitikkan musibah yang menimpa rakyat,” katanya ketika mengulas kenyataan MUDA Sandakan, Datu Mohammad Nurilham, hari ini.
Jerry menegaskan, gangguan elektrik kali ini memang berpunca daripada bencana alam iaitu hujan lebat dan banjir yang merosakkan tiang penghantaran utama.
Katanya, faktor bencana alam tidak boleh dipandang ringan kerana ia menjejaskan bukan sahaja grid tenaga, malah bekalan air, komunikasi dan logistik di lapangan.
“Setiap kali ada ribut atau banjir, memang akan ada kerosakan kepada infrastruktur. Itu realiti. Yang penting ialah bagaimana kerajaan dan agensi berkaitan bergerak pantas memulihkan keadaan. Menuding jari tanpa fakta hanya menambahkan kekeliruan dan keresahan rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa SESB bersama Suruhanjaya Tenaga serta agensi lain sedang giat melaksanakan kerja pemulihan dengan kadar segera, dan kerajaan negeri dibawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor juga memberi perhatian khusus bagi memperkukuh sistem tenaga di Sabah.
“Perlu diingat, memperkukuh infrastruktur asas memerlukan perancangan teliti dan pelaburan besar, bukannya boleh siap dalam sekelip mata. Inilah yang MUDA gagal faham, atau sengaja tidak mahu faham kerana lebih berminat menangguk di air keruh,” ujarnya.
Jerry menasihatkan rakyat supaya tidak terpedaya dengan retorik politik sempit yang hanya muncul setiap kali menjelang pilihan raya.
“Sabah sudah terlalu lama menjadi mangsa politik toksik. Apa yang rakyat perlukan ialah solusi nyata, bukan kenyataan retorik yang hanya mencari keuntungan politik jangka pendek. Kita mahu pemimpin yang konsisten turun padang, bukan sekadar bersuara di media ketika musim pilihan raya,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak agar memberi sokongan kepada usaha kerajaan meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi fenomena cuaca ekstrem, termasuk memperkukuh sistem ramalan, mempercepat respons kecemasan dan memperbaiki mekanisme pemulihan bencana.
“Selepas lebih enam dekad Sabah dalam Malaysia, sudah tiba masanya kita bergerak ke arah penyelesaian sebenar dengan semangat kerjasama. Menyalahkan pihak lain tanpa asas hanya melemahkan semangat rakyat. Kita perlukan perpaduan, bukannya perpecahan,” katanya.