
Lahad Datu : Ketua Bahagian Parti Gabungan Rakyat Sabah (PGRS) DUN Silam, Datuk Mizma Appehdullah menegaskan bahawa pihaknya tidak tergugat dengan tindakan beberapa parti yang keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) baru-baru ini.
Beliau berkata, PGRS kekal teguh menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan yakin gabungan itu akan terus menjadi pilihan rakyat berdasarkan kestabilan serta kerjasama politik yang terjalin selama ini.
“Tindakan mana-mana parti meninggalkan gabungan tidak menjejaskan semangat perjuangan kami. Fokus utama PGRS kini ialah memperkukuh perpaduan dan memperjuangkan kepentingan rakyat di peringkat akar umbi.
“Kami di PGRS DUN Silam tidak berasa tergugat dengan mana-mana parti yang mengambil keputusan keluar daripada GRS.
Pendirian kami jelas untuk terus bersama kepimpinan YAB Datuk Seri Panglima Hajiji Noor kerana kami percaya GRS mampu meneruskan kestabilan dan kemajuan Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan program anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Payang, di sini, hari ini.
Menurut Mizma, keutuhan GRS bergantung kepada kesetiaan dan kejujuran parti komponennya dalam memperjuangkan agenda rakyat.
“Kekuatan sebenar GRS bukan semata-mata terletak pada jumlah parti komponennya, tetapi pada keikhlasan dan kesepakatan untuk membangunkan Sabah secara bersama di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji,” katanya.
Terdahulu, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) mengumumkan keluar daripada GRS dan berhasrat bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.