
1. Majlis Presiden Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah mengadakan mesyuarat pada 1 Oktober 2025 (Rabu) yang dipengerusikan oleh YAB Datuk Seri Panglima (DSP) Hajiji Noor, Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi GRS. Mesyuarat ini turut dihadiri oleh semua Presiden parti komponen GRS, termasuk Setiausaha Agung GRS, YB Datuk Seri PanglimaMasidi Manjun.
2. Agenda utama mesyuarat yang berlangsung selama hampir dua jam ini adalah untuk membincangkan dan mengemas kini persiapan gerak kerja GRS dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN-17) yang akan diadakan tahun ini termasuklah rundingan agihan kerusi antara GRS dan Pakatan Harapan (PH).
3. Dalam mesyuarat tersebut juga, Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), YB DSP Dr Jeffrey Kitingan, dan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), YB DSP Yong Teck Lee, telah menyatakan hasrat parti masingmasing untuk bertanding menggunakan lambang parti sendiri dalam PRN17 nanti. Mereka memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat kerana tidak mahu terikat dengan kuota agihan kerusi DUN yang akan dimuktamadkan antara GRS dan PH.
4. Ini bermakna STAR dan SAPP berkemungkinan akan meletakkan calon di kawasan-kawasan DUN yang juga bakal ditandingi oleh calon-calon dari PH.5. Pengerusi GRS, YAB DSP Hajiji Noor, dalam mesyuarat tersebut telah memperingatkan bahawa semua parti komponen GRS perlu menghormati persetujuan kerjasama yang telah diumumkan bersama PH sebelum ini.
6. Beliau turut menegaskan bahawa atas prinsip kesatuan, GRS harus bergerak sebagai satu entiti, dengan semua calon GRS menggunakan lambang yang sama, iaitu lambang GRS, dalam menghadapi PRN-17.
7. Setelah perbincangan secara terbuka dan ikhlas selama hampir dua jam, mesyuarat telah memutuskan bahawa mana-mana parti komponen yang memilih untuk meletakkan calon menggunakan lambang parti masing-masing dianggap telah keluar daripada GRS. Oleh itu, calon-calon daripada parti tersebut tidak lagi mewakili GRS dalam PRN-17.
8. Pengerusi GRS yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), bersama Presiden parti-parti komponen lain iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS) dan Parti Cinta Sabah (PCS), menghormati keputusan STAR dan SAPP untuk bertanding secara solo dalam PRN-17.
9. Dengan keputusan dan tindakan tersebut, keanggotaan STAR dan SAPP dalam GRS dengan sendirinya tamat.
10. Presiden STAR dan Presiden SAPP turut menyatakan bahawa mereka menghormati pendirian parti-parti komponen lain yang memilih untuk terus kekal bersama GRS dan meneruskan kerjasama strategik dengan PH dalam menghadapi PRN yang akan datang.
11. Mesyuarat telah berlangsung dalam suasana penuh muhibah, mesra, ikhlas dan berterus terang. Semua pimpinan yang hadir akur dengan keputusan yang dibuat secara musyawarah, dan tetap meraikan perbezaan pandangan dalam semangat demokrasi yang sihat dan matang.
12. GRS akan terus memperkasakan gerak kerja dan memantapkan strategi bagi menghadapi PRN-17 dengan komitmen penuh kepada kestabilan dan kesejahteraan negeri Sabah.