Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah pada hari ini, 17 November 2025 telah mengadakan mesyuarat pertama Jawatankuasa Rundingan Pemberian Khas di peringkat pegawai berhubung kajian semula nilai Pemberian Khas Sabah selaras dengan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan berikutan dengan Perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Oktober 2025.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan bersama oleh YB. Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah dan YBhg. Datuk Johan Mahmood Merican, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan Malaysia bagi pihak Kerajaan Persekutuan. Pegawai lain yang mewakili Kerajaan Persekutuan ialah YBhg. Dato’ Sri Ab Rahim bin Ab Rahman (Pengarah Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan Malaysia), Encik Zulkhairil Amar Bin Mohamad (Timbalan Pengarah Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan Malaysia), Puan Marzaitul Azura Binti Mokhtar (Ketua Bahagian Penyelidikan, Jabatan Peguam Negara), Encik Mohd Saiful Sungkih Bin Abdullah (Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Sabah & Sarawak, Jabatan Perdana Menteri) dan Encik Norali @ Ag Norali Bin Ag. Damit (Pegawai Kewangan Persekutuan, Perbendaharaan Malaysia Sabah, Kementerian Kewangan Malaysia). Turut hadir mewakili Kerajaan Negeri Sabah ialah YBhg. Datuk Brenndon Keith Soh (Peguam Besar Negeri Sabah, Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah), YBhg. Datuk Nor Asiah Binti Mohd Yusof (Penasihat Undang-Undang Kepada YAB. Ketua Menteri, Jabatan Ketua Menteri), YBhg. Datuk Mohd Sofian Alfian Nair (Setiausaha Tetap, Kementerian Kewangan Sabah), YBhg. Datuk Jasmine Teo (Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah), Puan Chee Shok Ting (Timbalan Setiausaha Tetap (Pembangunan) Kementerian Kewangan Sabah), YBhg. Datuk Dgku Fazidah Hatun Binti Pg. Bagul (Timbalan Peguam Besar Negeri Sabah I, Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah), Puan Evina Brenda Majimbun (Setiausaha Rendah Bahagian Cukai Jualan Negeri, Kementerian Kewangan Sabah) dan Encik Mohd. Ikhwan Bin Ramlan (Pegawai Undang-Undang Kanan, Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah).
Kedua-dua pihak bersetuju bahawa perbincangan ini menandakan satu permulaan yang berkesan dan konstruktif, dengan kesepakatan bersama bahawa kajian semula Pemberian Khas Sabah berdasarkan formula 40% hasil bersih Persekutuan menurut Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
Wakil Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah menegaskan komitmen untuk melaksanakan perbincangan secara progresif dengan semangat kerjasama, saling menghormati dan persefahaman, termasuk perkongsian data dan maklumat kewangan yang diperlukan.
Kedua-dua pihak turut menyatakan keyakinan bahawa mesyuarat ini merupakan landasan yang kukuh untuk mencapai suatu penyelesaian.
