
Kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Libaran merangkap Ketua Penerangan UMNO Sabah, YB Datuk Suhaimi Nasir, yang menuduh YAB Ketua Menteri Sabah sebagai gagal, adalah tidak berasas, berat sebelah dan berniat politik semata-mata.
Tuduhan bahawa pengalaman panjang YAB Ketua Menteri tidak membawa apa-apa hasil kepada rakyat adalah fitnah yang jelas bertentangan dengan fakta pembangunan sebenar yang berlaku di Sabah dalam lima tahun kebelakangan ini.
Pertama, mengenai isu asas rakyat seperti jalan raya, air dan elektrik, inilah masalah legasi berpuluh tahun yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu termasuk semasa UMNO Sabah menjadi sebahagian daripada pentadbiran.
YAB Hajiji tidak pernah menafikan cabaran ini, malah sejak 2021 kerajaan negeri telah memperuntukkan dana khusus di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) untuk menaiktaraf lebih banyak jalan luar bandar, mempercepatkan projek empangan dan sistem agihan air, serta bekerjasama dengan Tenaga Nasional Berhad dan SESB untuk menstabilkan bekalan elektrik. Masalah ini tidak boleh selesai dalam sekelip mata, tetapi usaha dan projek telah berjalan secara konsisten.
Kedua, tuduhan berhubung kadar pengangguran negeri juga perlu dilihat dalam konteks sebenar. Sabah berdepan cabaran unik dengan keluasan negeri, kedudukan geografi dan pasaran buruh yang bergantung kepada sektor tidak formal. Namun, data rasmi membuktikan peluang pekerjaan terus berkembang.
Antara tahun 2021 hingga 2024 sahaja, Sabah berjaya menarik pelaburan bernilai RM35.38 bilion melibatkan 420 projek, sesuatu yang tidak pernah dicapai semasa pentadbiran sebelum ini. Pelaburan ini memberi kesan langsung kepada penciptaan peluang kerja baharu, terutama dalam sektor minyak & gas, pelancongan, pertanian hiliran dan industri teknologi.
Ketiga, dakwaan kononnya pentadbiran GRS terpalit dengan skandal lesen mineral juga adalah cubaan mengaitkan Ketua Menteri dengan isu yang telah pun dijelaskan secara rasmi oleh Sabah Mineral Management (SMM) dan Jabatan Tanah dan Ukur.
Fakta jelas menunjukkan tiada sebarang lesen carigali dikeluarkan kepada mana-mana syarikat termasuk yang dikaitkan dalam laporan fitnah. Malah, SMM telah mengambil tindakan undang-undang terhadap laporan palsu yang cuba menjatuhkan kredibiliti kerajaan negeri.
Akhir sekali, kenyataan YB Suhaimi yang menyuruh YAB Hajiji “berehat” adalah retorik politik murahan. Realitinya, kepimpinan Hajiji telah berjaya meletakkan Sabah kembali pada landasan pembangunan melalui Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya, memacu pelaburan luar dan dalam negeri, serta memperkukuh hasil negeri termasuk melalui penyertaan langsung Sabah dalam Petronas. Ini pencapaian yang nyata, bukan gimik.
Rakyat Sabah masih ingat siapa yang sebenarnya gagal menjaga integriti ketika berkuasa, dan siapa yang hanya pandai menabur janji tetapi meninggalkan hutang serta masalah struktur tanpa penyelesaian.
Menyerang Hajiji dengan tohmahan tidak akan memadamkan fakta bahawa GRS telah membawa stabiliti politik, mengembalikan keyakinan pelabur, dan membuka laluan kepada pembangunan ekonomi yang lebih mapan untuk masa depan negeri.