
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata
Kerajaan Negeri komited untuk mempertingkatkan keupayaan tenaga kerja tempatan di negeri ini, termasuk dalam sektor air yang selaras dengan visinya untuk kemakmuran Sabah.
“Dengan membekalkan para profesional kita dengan pengetahuan dan kemahiran terkini,
kita memperkasakan mereka untuk menerajui penerapan teknologi dan amalan baharu.
“Pelaburan dalam modal insan ini amat penting untuk pembangunan mampan dalam semua
sektor pembangunan,” katanya ketika merasmikan Asiawater Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.Ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri,Datuk Abidin Madingkir
Beliau berkata tidak dinafikan bahawa manfaat ekonomi daripada industri air dan kumbahan
yang kukuh adalah besar kerana perkhidmatan air yang lebih baik membawa kepada
peningkatan tahap kesihatan awam dan produktiviti yang lebih tinggi.
“Apabila kita melabur dalam infrastruktur air, kita turut merangsang penciptaan pekerjaan
dan pertumbuhan ekonomi, seterusnya memastikan semua rakyat Sabah mendapat
manfaat daripada kemajuan ini,” katanya.
Ketua Menteri berkata persidangan dan expo ini merupakan satu lagi detik penting dalam
usaha menangani isu utama yang memberi kesan kepada Sabah.
“Dalam beberapa hari ini, saya percaya anda semua akan terlibat dalam perbincangan yang
bermakna serta meneroka penyelesaian inovatif bagi menangani cabaran mendesak yang kita hadapi di Sabah,” katanya.
Hajiji berharap perbincangan itu akan membuka ruang baharu untuk kerjasama dan perkongsian ilmu. “Apa yang lebih penting ialah mempertingkatkan keupayaan dan merangka strategi berkesan untuk menambah baik perkhidmatan air kepada masyarakat kita,” katanya.