
TAWAU : Hubungan media antara Sabah dan Nunukan, Indonesia terus diperkasakan apabila Seksi Wartawan Olahraga (SIWO) Persatuan Wartawan Indonesia (PWI) Nunukan menjalin kerjasama dengan rakan media dari negeri ini.
Pertemuan yang berlangsung di Tawau semalam dihadiri Ketua SIWO PWI Nunukan, Alamsyah, bersama Naib Presiden Persatuan Jaringan Media Sabah (NUANSA) merangkap Ketua Pemberita Pantai Timur Sabah Astro Awani/Awani Borneo, Haji Mohd Ridzal Abdullah, mewakili Presiden NUANSA, Ruzaini Zulkepli.
Turut hadir Pemangku Setiausaha Persatuan Wartawan dan Pengamal Media Tawau (PEWARTA) yang juga Wartawan Utusan Borneo, Hamzah Sanudin.
Alamsyah berkata, pertemuan itu bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah menjadi platform untuk membina kerjasama lebih erat pada masa akan datang, khususnya dalam bidang sukan dan kewartawanan.
“Antara persetujuan yang dicapai ialah mengundang wartawan Sabah menghadiri Pekan Olahraga Wartawan Daerah (PORWADA) II Kalimantan Utara di Nunukan pada 2026 sebagai langkah konkrit pertama hasil perbincangan ini,” katanya.
Beliau menjelaskan, undangan itu mendapat sambutan positif daripada wartawan Sabah, termasuk wakil tiga pertubuhan media utama di Tawau iaitu NUANSA, PEWARTA dan Persatuan Pemberita Tawau (PPT). PORWADA II Kaltara dijangka turut diserikan dengan pelbagai acara termasuk perlawanan ekshibisi melibatkan atlet dari Sabah.
Selain memupuk semangat kesukanan, program ini diharap menjadi medium pertukaran pengalaman serta mengeratkan hubungan rakyat di kedua-dua wilayah sempadan.
Pertemuan itu juga membuka peluang kerjasama jangka panjang merangkumi pertukaran wartawan, latihan bersama, liputan kolaboratif serta cadangan memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk memformalkan hubungan.
“Pada masa depan, kerjasama ini bukan hanya tertumpu pada sukan, malah boleh diperluas ke sektor budaya, pelancongan dan ekonomi, sekali gus menjadi bukti persahabatan Indonesia-Malaysia semakin erat,” katanya.
Pada Disember 2023, PWI Nunukan pernah mengadakan kunjungan hormat kepada PEWARTA bagi membincangkan pertukaran maklumat rasmi dan sokongan bersama di kawasan perbatasan.