
LAHAD DATU : Lebih 2,000 umat Islam membanjiri Dewan Masyarakat Tun Mustapha bagi memeriahkan Program Perarakan dan Ceramah sempena Sambutan Maulidur Rasul 1447H/2025M peringkat Daerah Lahad Datu, semalam.
Sambutan yang dihadiri orang awam, kakitangan jabatan dan agensi kerajaan negeri serta persekutuan, pemimpin masyarakat dan NGO itu berlangsung penuh semangat dan sarat dengan pengisian kerohanian.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N.61 Segama merangkap Ketua Bahagian PGRS N.62 Silam, Datuk Mizma Appehdullah. Turut hadir Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohammad Yusof Apdal; ADUN N.62 Silam, Hj. Dumi Pg. Masdal; Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hj. Dzubaharain Hj. Ismail; Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd Dzull; serta Pegawai Tadbir Agama JHEAINS Lahad Datu, Ustaz Mardi Arifin.
Dalam ucapannya, Firuz menekankan kepentingan umat Islam memperkukuh kecintaan kepada Rasulullah SAW dengan menghayati al-Quran dan sunnah dalam kehidupan seharian, meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Sementara itu, Datuk Mizma dalam ucapan perasmiannya mengingatkan bahawa sambutan Maulidur Rasul bukan sekadar memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW, tetapi wajar dijadikan medan mendidik generasi agar menolak kezaliman, menegakkan kebenaran serta meneladani akhlak Baginda. Beliau turut menyentuh isu semasa membabitkan kes arwah Zara Qairina dengan menegaskan perlunya usaha bersama membanteras budaya buli dalam masyarakat.
Program turut diserikan dengan lantunan selawat dan zikir, persembahan nasyid oleh Ustaz Nazrey Johani dan Ustaz Hafiz Hamidun, selain tazkirah oleh Ustaz Hj. Mohd Yunus yang menekankan sambutan Maulidur Rasul sebagai manifestasi rasa syukur serta kecintaan umat Islam terhadap Nabi Muhammad SAW, selain menuntut umat terus mendalami sirah Baginda sebagai panduan hidup.
Kemuncak majlis menyaksikan Ketua Anak Negeri DUN Silam, Hj. Hamid Hj. Khamis, dinobatkan sebagai Tokoh Maulidur Rasul 1447H/2025M Daerah Lahad Datu.
Sambutan turut dimeriahkan dengan penyertaan 40 kontinjen dalam pertandingan sepanduk membabitkan NGO, sekolah, madrasah dan pelbagai institusi lain termasuk Pertubuhan Amal Azzahra Sabah. Antara pemenang utama ialah Majlis Daerah Lahad Datu bagi kategori agensi kerajaan negeri/persekutuan, SK St. Steven bagi kategori institusi pendidikan, Masjid Nurul Ibadah Teck Guan bagi kategori DUN Segama, Masjid Nurul Aman Taman Aman Jaya bagi kategori DUN Silam serta PUSPANITA yang muncul juara kategori NGO.
Selain itu, Pertubuhan Amal Ummul Zuyyin dinobatkan sebagai kontinjen terbaik, SK Lahad Datu II menerima pengiktirafan kontinjen teramai, SK Pekan Lahad Datu dinobatkan kontinjen paling rare manakala Putoma Ka Sepagaga dari Kampung Lituh Pulau Batu 3 diumumkan pemenang kategori individu.
Suasana kemeriahan jelas terpancar sepanjang program apabila laungan selawat bergema seiring perarakan yang berlangsung, menzahirkan rasa cinta umat Islam Lahad Datu terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW.