Putatan: Masyarakat setempat di seru untuk terus menjadi ‘mata dan telinga’ kepada kerajaan bagi memastikan sistem pentadbiran berjalan dengan lancar serta telus di peringkat akar umbi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya (SAY) berkata, langkah itu sebagai satu mekanisme terbaik dalam meningkatkan produktiviti jentera kerajaan menyampaikan perkhidmatan selain menjadi medium penyelesaian secara efisyen.
Jelasnya lagi, kerjasama orang ramai khususnya masyarakat di kawasan DUN itu amat diperlukan dari semasa ke semasa.
“Kita mahu penyampaian pentadbiran kerajaan sampai hinggalah ke peringkat akar umbi dan bukannya sekadar retorik.
“Ini terutamanya mengenai permasalahan setempat, salurkan maklumat anda ke medium yang disediakan dan kalau saya, saya sendiri akan turun padang mengenalpasti mana-mana permasalahan yang ada.
“Sehubungan itu, saya mengajak masyarakat dan rakyat di DUN Tanjung Keramat ini menjadi mata dan telinga kita bagi memastikan perkhidmatan atau permasalahan yang ada dapat diselesaikan dari semasa ke semasa, “katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan program walkabout di sekitar Taman Pantai Lok Kawi, Putatan, hari ini.
Hadir sama Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) DUN Tanjung Keramat; Latip Jiar.
Dalam program tersebut, SAY turut berkesempatan mengadakan tinjauan rapat ke kawasan tamu, pemeriksaan kawasan riadah penduduk setempat dan pusat niaga di lokaliti taman berkenaan.
“Saya mengadakan pertemuan secara bersemuka dengan beberapa peniaga, penduduk dan orang ramai yang ada di kawasan ini di mana beberapa isu mereka ajukan kepada pihak kami.
“Antara permasalahan yang diajukan adalah penyediaan tandas awam, masalah lampu jalan, tempat pembuangan sampah, penyelenggaraan padang futsal dan juga tempat beriadah, “katanya.
Tambah SAY, perkara itu akan di bawa pihaknya kepada pihak berwajib dengan menjelaskan keselesaan para penduduk serta peniaga di kawasan Taman Pantai Lok Kawi sentiasa menjadi keutamaannya selaku wakil rakyat Tanjung Keramat.
