
TAWAU : Krisis bekalan air bersih yang berlarutan di daerah Tawau dijangka akan berakhir sepenuhnya apabila projek Skim Bekalan Air Tawau Fasa Tiga di Empangan Cinta Mata siap dibina pada tahun 2028.
Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui, berkata projek berkenaan merupakan langkah jangka panjang kerajaan bagi memastikan penduduk Tawau tidak lagi berdepan masalah catuan air yang sudah berlarutan sejak sekian lama.
Menurutnya, setakat ini projek berkenaan telah mencapai kemajuan 64 peratus, dan pembinaannya kini giat dijalankan selepas beberapa kali tertangguh sejak dimulakan pada tahun 2016.
“Selepas penerangan ini, kita dapat maklumat yang tepat bahawa pembinaan empangan ini akan diselesaikan pada 2028. Mudah-mudahan pelaksanaannya berjalan lancar tanpa sebarang masalah agar bekalan air di Tawau dapat diselesaikan sepenuhnya,”
katanya.
Dalam masa yang sama, Datuk Lo menjelaskan beberapa langkah jangka pendek turut diambil bagi menangani keperluan mendesak penduduk, termasuk menambah jumlah lori penghantar air dengan kerjasama Jabatan Air Tawau dan syarikat konsesi pembekal air.
“Kita bekerjasama dengan Jabatan Air Tawau untuk menambah lori penghantar air. Pendek kata, kita memang bertekad dan berusaha menyelesaikan masalah catuan air ini kerana tanpa bekalan air yang stabil, tiada pembangunan dan kemajuan yang boleh dibawa ke Tawau,”
tambah beliau.
Datuk Lo berkata demikian ketika ditemui selepas sesi libat urus bersama Jabatan Air Negeri Sabah di Pejabat Pembinaan Empangan Cinta Mata Tawau, pada Sabtu.
Untuk rekod, Empangan Cinta Mata Tawau mempunyai kapasiti simpanan 209 juta liter air, dengan kemampuan membekalkan sehingga 169 juta liter air sehari kepada lebih 300,000 penduduk di sekitar daerah Tawau.