
KUDAT : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kudat berjaya mematahkan cubaan sekumpulan migran memasuki Sabah secara haram, semalam.
Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, tindakan pantas itu dilakukan selepas menerima maklumat pengesanan daripada Radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah sebelum bot peronda mengesan sebuah bot mencurigakan pada jam 6.30 petang.
Beliau berkata, ketika diarahkan berhenti untuk pemeriksaan, bot tersebut bertindak melarikan diri sehingga mencetuskan aksi kejar-mengejar selama beberapa minit.
“Bot itu akhirnya berjaya dipintas pada kedudukan kira-kira 10.22 batu nautika barat Tanjung Kalutan, berhampiran perairan barat Pulau Balambangan, Banggi. Pemeriksaan menemukan seorang tekong, seorang kru serta lapan penumpang yang terdiri daripada empat wanita dan empat lelaki berusia antara 19 hingga 40 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semua individu yang ditahan bersama bot berkenaan dibawa ke Jeti Marina Kudat untuk siasatan lanjut mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 serta Akta Imigresen 1959/63.
Hasbullah turut menyeru komuniti maritim di sekitar perairan Kudat agar bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.
Sebarang maklumat berkaitan jenayah maritim boleh disalurkan ke Pusat Operasi Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.