
TAWAU : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau menahan sebuah bot kargo tempatan yang membawa sejumlah barangan berupa produk kesihatan dan ubat-ubatan terkawal tanpa sebarang dokumen sah dalam kejadian pada pukul 2.10 petang semalam.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, kapal peronda Maritim Malaysia, KM KIDURONG, yang sedang menjalankan rondaan Op Sejahtera dan Op Tiris, telah mengesan serta menahan bot berkenaan yang bergerak dalam keadaan mencurigakan dari perairan Tawau menuju ke perairan Wallace Bay.
Menurutnya, pemeriksaan dilakukan di kedudukan 1.1 batu nautika utara Sungai Salipar, dan mendapati seorang lelaki warga tempatan berusia 55 tahun bertindak sebagai juragan bot terbabit.
“Pemeriksaan ke atas muatan mendapati beberapa kotak disorokkan di dalam ruang kargo, mengandungi produk kesihatan serta ubat-ubatan terkawal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, juragan berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran yang sah berkaitan muatan tersebut dan tidak mempunyai daftar pengisytiharan dalam borang kastam.
Susulan itu, juragan bersama bot, enjin dan kesemua muatan ditahan serta dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Jualan Dadah 1952, Peraturan 7(1) serta Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot kargo, enjin dan barangan dianggarkan berjumlah RM71,000.
Ariffin berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan produk kesihatan serta ubatan tersebut cuba diseludup keluar ke negara jiran bagi memenuhi permintaan pasaran luar.
“Maritim Malaysia akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti pemilik barangan serta modus operandi yang digunakan untuk mengaut keuntungan melalui perdagangan tidak sah,” katanya.
Beliau menegaskan, penguatkuasaan di kawasan Sabah Timur akan terus diperkasa dengan rondaan dan pemantauan lebih kerap di kawasan titik panas bagi membanteras aktiviti yang melanggar undang-undang.
“Maritim Malaysia memandang serius terhadap semua aktiviti jenayah rentas sempadan. Aset ronda sentiasa bersiap sedia diatur gerak tanpa mengira masa bagi menghadapi sebarang situasi di perairan negara,” katanya.
Beliau turut menyeru orang awam agar menyalurkan maklumat berkaitan jenayah di laut terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau melalui talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.