KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini melancarkan Manifesto Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah Ke-17 yang menampilkan satu gagasan,empat rukun dan 16 strategi pembangunan komprehensif sebagai landasan hala tuju negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.
Manifesto yang dilancarkan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor selaku Pengerusi GRS itu adalah deklarasi akujanji, komitmen dan perancangan strategik GRS kepada rakyat Sabah yang akan menentukan pembentukan kerajaan menerusi pilihan raya pada 29 November ini.
Dalam ucapannya, Hajiji berkata manifesto bertemakan ‘Rumah Kita, Kita Jaga – Tanah Air Maju, Rakyat Berkemajuan’ itu bakal membawa Sabah ke satu era baharu yang lebih baik selaras usaha kerajaan GRS membangunkan negeri berpandukan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
“Maka pada hari ini, atas nama perjuangan dan komitmen Gagasan Rakyat Sabah; kita lancarkan Manifesto GRS, sebagai deklarasi akujanji, komitmen dan perancangan strategik parti GRS kepada rakyat Sabah untuk tempoh lima tahun yang akan datang.
“Deklarasi akujanji, komitmen dan perancangan strategik GRS ini berdasarkan kepada empat tunjang utama perjuangan GRS dalam membela hak-hak rakyat dan kedaulatan Negeri Sabah; iaitu SABAH FIRST (Sabah Diutamakan), SABAH FORWARD (Sabah Melangkah Ke Hadapan), SABAH PROSPER (Sabah Maju Jaya) dan SABAH UNITED (Sabah Yang Bersatu).
“Empat tunjang utama perjuangan ini sebenarnya telahpun kita zahirkan semasa pelancaran GRS pada 28 Mei 2022, justeru, berteraskan asas ini maka kita tawarkan ia sebagai tunjang Manifesto kita untuk membawa Sabah ke mercu kejayaan di masa akan datang,” katanya pada pelancaran Manifesto GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Isnin.
Katanya, GRS bertekad dan berjanji untuk menyempurnakan segala yang terkandung dalam Manifestonya itu yang meliputi segala aspek pembangunan strategik bersifat holistik dan inklusif, sejajar dengan Dasar Hala Tuju SMJ, yang menjadi tonggak kepada Kerajaan Negeri.
“Manifesto ini merangkumi pembangunan dalam pelbagai sektor Ekonomi, Infrastruktur, Keselamatan, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Kelestarian Alam dan Kesejahteraan Rakyat; termasuk tuntutan ke atas hak-hak Sabah sebagaimana yang jelas terkandung di dalam Perlembagaan Malaysia.
Sesungguhnya, perjuangan GRS ini adalah dari rakyat dan untuk rakyat ke arah Sabah yang maju dan makmur; tanpa mengabaikan tanggungjawab kita sebagai warganegara yang sentiasa menjunjung kedaulatan undang-undang negara Malaysia.
“Dengan kerangka Manifesto yang lebih komprehensif; berlandaskan iltizam dan komitmen ke arah Sabah yang progresif, makmur dan bersatu padu, saya yakin, GRS akan mendapat sokongan padu daripada rakyat, menguasai 55 kawasan DUN yang kita tandingi dan menguasai semula Kerajaan Negeri Sabah, insya Allah, ” katanya.
Ketua Menteri menegaskan GRS bukan saja mampu mengekalkan kestabilan dan perpaduan, malah berupaya membawa perubahan dan kemajuan. Jelasnya, kemampuan dan kesungguhan GRS dalam menyediakan asas-asas yang kukuh ke arah kemakmuran dan kesejahteraan sudah terbukti sejak lima tahun menerajui tampuk Kerajaan Negeri Sabah. “Sesungguhnya, GRS adalah pilihan terbaik untuk seluruh rakyat, ” katanya.
Sementara itu, di bawah Rukun 1: Sabah First, Manifesto GRS, empat akujanji digariskan iaitu pertama meneruskan ketegasan dalam pelaksanaan segera hak-hak Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
Kedua, GRS menggariskan usaha mendapatkan hak berperlembagaan Pemberian Khas (Special Grant) 40 peratus hasil bersih dikembalikan kepada Kumpulan Wang Disatukan Negeri.
Ketiga, GRS menegaskan kedaulatan dan mempertahankan keselamatan dan integriti sempadan wilayah, manakala keempat GRS menekankan keperluan memaknai autonomi wilayah.
Di bawah Rukun 2: Sabah Forward pula, pertama GRS menekankan usaha memperkukuhkan sumber ekonomi melalui penerokaan kepelbagaian khazanah seperti potensi Ekonomi Digital dan Pemerdagangan Kredit Karbon.
Kedua, mencipta sumber pendapatan masa depan melalui pewujudan Dana Pelaburan Masa Depan Anak Sabah (Sabah Sovereign Wealth Fund) dengan suntikan modal permulaan daripada rizab negeri dan tambahan tahunan daripada hak Pemberian Khas (Special Grant) 40 peratus.
Ketiga, meningkatkan pelaburan asing dan domestik serta meneroka peluang serta potensi ekonomi Sabah di peringkat antarabangsa, manakala keempat memacu penyertaan bermakna, kebolehpasaran dan pendapatan bermaruah (decent income) anak Sabah dalam pelbagai sektor ekonomi dan pekerjaan melalui agenda pembangunan modal insan untuk mempertingkat sosioekonomi rakyat.
Menerusi Rukun 3: Sabah Prosper, GRS menggariskan akujanji pertama merintis usaha menggandakan penjanaan kutipan hasil negeri mencecah sasaran RM10 bilion; kedua, menyelesaikan isu-isu infrastruktur asas yang diwarisi iaitu bekalan air, elektrik dan jaringan hubungan jalan raya dan Komunikasi.
Seterusnya yang ketiga menangani isu-isu utama yang diwarisi seperti kemiskinan, keperluan khas golongan rentan, peluang pekerjaan, perumahan, pengurusan bencana, pemodenan bandar dan transformasi daerah-daerah kurang membangun.
Keempat, melaksanakan reformasi kerangka perundangan dan institusi ke arah persekitaran yang mampan, progresif dan berintegriti serta tadbir urus yang baik termasuk penetapan had maksimum Ketua Menteri untuk dua penggal.
Di bawah Rukun 4: Sabah United pula, GRS menggariskan komitmen pertama meraikan kepelbagaian dan menghormati hak serta kepentingan setiap kaum dan agama.
Kedua, menekankan prinsip inklusiviti untuk memastikan setiap anak Sabah dan segmen masyarakat diberikan akses dan peluang yang saksama dalam peningkatan mobiliti sosial dan tiada golongan yang terpinggir.
Ketiga, memupuk nilai kekitaan dan pertanggungjawaban bersama dalam memperjuangkan agenda Sabah Diutamakan (Sabah First) serta gagasan Rumah Kita, Kita Jaga.
Akhir sekali, GRS komited dalam usaha memaknai keberadaan GRS sebagai platform menyatukan parti-parti lokal bagi membina kestabilan politik negeri sekali gus memperkukuhkan kuasa politik Sabah dalam Persekutuan Malaysia.
