Sulabayan nama yang sering sinonim dengan kekuatan Parti Warisan Sabah, kini menjadi pentas baharu buat Parti Amanah Negara (AMANAH) mencuba nasib.
Di kawasan yang sejak sekian lama dianggap ‘benteng tradisi’ kepada pengaruh pasukan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, langkah AMANAH mengumumkan Ustaz Mohd Julpikar Ab Mijan sebagai calon rasmi Pakatan Harapan untuk DUN N.64 Sulabayan menandakan kesediaan parti itu untuk keluar daripada bayang-bayang rakan komponennya dan berdiri di atas keupayaan sendiri.
Konvensyen AMANAH Sabah 2025 di Kota Kinabalu minggu lalu yang dirasmikan oleh Presiden Datuk Seri Mohamad Sabu menjadi medan pelancaran strategik.
Mesejnya jelas, AMANAH mahu mencipta sejarah menembusi pentas politik Sabah, bukan sekadar menjadi pemerhati dalam gabungan.
Mohamad Sabu mengingatkan jentera agar tidak menunggu detik pembubaran DUN, sebaliknya memulakan kerja lapangan dari sekarang dengan disiplin dan strategi.
Namun persoalan besar kini ialah, mampukah Amanah memikul amanah dari Parti Gabungan Rakyat Sabah (PGRS) untuk memenangi hati pengundi di Sulabayan, memandangkan PGRS sudah berkerja dan menabur budi sejak sekian lama di situ.
Sejak PRU dan PRN yang lalu, Semporna termasuk Sulabayan kekal sebagai kubu kuat Warisan.
Pengaruh Shafie Apdal masih menebal bukan hanya atas dasar politik tetapi kerana jaringan sosial dan akar budaya yang beliau bina selama dua dekad.
Bagi pengundi setempat, Warisan bukan sekadar parti tetapi simbol identiti tempatan yang sukar digugat.
Dalam landskap sebegitu, kemasukan AMANAH membawa makna simbolik satu ujian terhadap sejauh mana nilai “politik beramanah” dapat menembusi sempadan kesetiaan lama.
Ia juga menjadi cerminan kepada kemampuan Pakatan Harapan menguji pengaruhnya di tanah yang masih setia kepada semangat “Bog-Bog”.
Ustaz Mohd Julpikar bukan nama besar dalam politik Sabah, tetapi profilnya sebagai pendidik dan aktivis sosial memberi nilai tersendiri.
Tokoh agama muda ini dikenali di Semporna kerana peranan beliau dalam pendidikan, NGO dan dakwah, malah pernah diiktiraf sebagai Tokoh Maulidur Rasul Daerah Semporna 2021 dan Tokoh Ma’al Hijrah 2023.
Di sinilah kekuatan AMANAH ,membina naratif calon berjiwa rakyat, berasaskan nilai moral dan integriti.
Namun di Sulabayan, nilai sahaja tidak mencukupi tanpa struktur akar umbi yang kuat.
Politik tempatan masih digerakkan oleh jaringan keluarga, tokoh komuniti dan struktur bantuan yang sukar ditembusi parti baharu.
Satu faktor yang menarik untuk diperhatikan ialah kedudukan Datuk Haji Abd Hajan Haji Gurimbang, Ketua Bahagian PGRS dan mantaj Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sulabayan yang sebenarnya calon berpotensi menggoyah benteng Warisan di DUN tersebut.
Gerak kerja beliau yang tersusun, mendekati golongan belia serta pelaksanaan feri Pulau Bum-Bum antara kelebihan yang beliau bawa ke kawasan tersebut.
Senario ini mungkin mewujudkan kohesi dalaman GRS di Sulabayan yang berpotensi membuka ruang kepada AMANAH untuk menawan sebahagian pengundi atas pagar yang kecewa.
Namun, risiko ini juga dua hala, jika penyokong GRS berpindah sokongan kepada Warisan demi “mengekalkan parti tempatan”, AMANAH akan berdepan cabaran lebih besar, terutama dalam menembusi pengundi luar jaringan parti.
Tidak dilupa juga penyandang DUN Sulabayan, Datuk Dr Jaujan Sambakong yang dilihat masih boleh mengekalkan momentum sekiranya terdapat beberapa calon yang bertanding dan wujud ‘pecah undi’ akibat banyak penjuru yang pastinya memberi kelebihan kepada beliau yang mewakili Parti Warisan.
Kehadiran AMANAH di Semporna buat pertama kali mewujudkan warna baru kepada politik daerah yang selama ini bersifat tradisi sahaja.
AMANAH berpotensi menjadi ‘suara ketiga’ yang memperkenalkan isu nilai, pendidikan, integriti dan keagamaan, sesuatu yang mungkin menarik kelompok profesional muda serta pengundi baharu yang bosan dengan politik lama.
Namun, di Semporna, sejarah membuktikan pengundi lebih terikat kepada personaliti berbanding parti.
Justeru, kemampuan Ustaz Julpikar mendekati jentera kampung, imam, ketua masyarakat dan NGO tempatan akan menjadi penentu sebenar sama ada AMANAH mampu diterima bukan sekadar didengar.
AMANAH membawa jenama politik bersih dan progresif, tetapi cabarannya di Sabah bukan kecil.
Parti ini belum mempunyai struktur jentera kukuh seperti Warisan dan GRS.
Kemenangan di Sulabayan bukan semata-mata soal undi, tetapi kepercayaan sesuatu yang hanya boleh dibina melalui masa dan kehadiran berterusan di lapangan.
Sekiranya Ustaz Julpikar mampu mengekalkan momentum, membina simpati rakyat dengan isu pendidikan, moral dan pembangunan setempat, beliau mungkin tidak menang kerusi, tetapi akan menang “pengaruh”.
Dalam politik Sabah yang dinamik, membina pengaruh adalah langkah pertama sebelum membina kemenangan.
PRU Sabah kali ini akan menjadi medan ujian buat AMANAH.
Sama ada mereka sekadar ‘menyertai perlumbaan’ atau benar-benar mampu memikul amanah rakyat Sulabayan akan bergantung pada sejauh mana nilai yang dilaungkan mampu diterjemah dalam bentuk kehadiran dan khidmat.
Jika Warisan kekal mempertahankan bentengnya di Semporna, AMANAH tetap akan dikenang sebagai parti yang berani mencabar arus di tanah tertanamnya ‘tembuni’ Parti Warisan ,tempat di mana politik bukan sekadar perebutan kuasa, tetapi medan menentukan siapa yang benar-benar memahami jiwa rakyat.
PENAFIAN:
Artikel ini ditulis berdasarkan analisis bebas dan tidak mewakili mana-mana parti politik.Ia sekadar pandangan dan ramalan daripada pemerhati politik tempatan berdasarkan situasi semasa. Penulis mempunyai pengalaman berkhidmat dengan ahli politik di Sabah dan telah bertugas sebagai wartawan sejak tahun 2010 hingga kini.
TINJAUAN POLITIK #DeasokaMemilihSabah2025
