
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah menubuhkan Majlis Penasihat Reformasi UndangUndang Sabah (SLRAC) sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk menegakkan kedaulatan undang-undang, memperkukuh tadbir urus dan mempromosi reformasi perundangan di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata penubuhan SLRAC merupakan satu inisiatif penting yang bertujuan untuk memodenkan dan menambah baik kerangka perundangan di Sabah bagi memenuhi keperluan rakyatnya dengan lebih berkesan.
“Kerajaan Negeri mengalu-alukan pandangan dan syor berharga daripada SLRAC, yang dijangka menjadi asas kepada reformasi undang-undang yang bermakna dan berkekalan di Sabah,” kata beliau.
Kata Ketua Menteri, penubuhan majlis ini juga selaras dengan visinya untuk menjadikan Sabah sebagai sebuah negeri yang progresif, inklusif dan berpandangan jauh ke hadapan, di mana pembangunan undang-undang bergerak seiring dengan kemajuan sosial dan ekonomi, sambil memelihara warisan unik negeri ini.
Hajiji berkata demikian selepas menyampaikan surat pelantikan kepada ahli-ahli SLRAC yang diketuai oleh Pengerusinya, Tan Sri David Wong Dak Wah, bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, di Menara Kinabalu hari ini.
Ahli-ahli lain dalam Majlis tersebut ialah Datuk Daniel Tan Jwee Peng, Dr David Fung Yin Kee, Datuk John Sikayun, Datuk Roger Chin Ken Fong, dan Shakinur Ain Karama, manakala Janice Junie Lim akan bertindak sebagai Setiausaha.
SLRAC merupakan sebuah badan penasihat bebas yang ditugaskan untuk menjalankan kajian menyeluruh terhadap undang-undang negeri sedia ada dan mencadangkan reformasi khusus bagi meningkatkan kejelasan, kecekapan, keadilan dan kesesuaian undang-undang.
Majlis ini juga akan memastikan agar reformasi yang dicadangkan akan berpegang teguh kepada nilai, adat dan realiti sosio-budaya yang unik di Sabah.
Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong dan Peguam Besar Negeri, Datuk Brenndon Keith Soh.
Deasoka