
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Madius Tangau membangkitkan persoalan berhubung pelaksanaan Program Pengurusan Perkhidmatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat di sini baru-baru ini.
Dalam soalannya kepada Perdana Menteri, beliau mempersoalkan mengapa hanya RM68 juta daripada peruntukan RM100 juta yang digunakan sepanjang tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), walhal ribuan tanah kampung masih belum disukat di seluruh Sabah.
Madius turut bertanya sama ada kerja-kerja penyukatan tanah telah diselesaikan dan adakah kerajaan sedar terhadap keperluan mendesak rakyat Sabah dalam isu pemilikan tanah adat.
Menjawab soalan tersebut, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa, memaklumkan bahawa sehingga Jun 2025, sejumlah RM70.67 juta telah disalurkan di bawah Program Khas Anak Negeri (PKAN) Sabah, dengan keluasan 69,442 hektar tanah telah disukat melibatkan seramai 38,126 penerima manfaat.
Menurut beliau, penyaluran dana dibuat berdasarkan prestasi pencapaian dan keupayaan agensi pelaksana, bukan sepenuhnya mengikut jumlah siling peruntukan yang diluluskan.
Tambah beliau, usaha pengukuran tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) akan diteruskan secara berperingkat, dan komitmen kerajaan adalah untuk memastikan pemilikan sah diberi kepada individu yang layak.
Dalam satu kenyataan hari ini, Madius menegaskan bahawa masih ramai penduduk kampung termasuk di kawasan pedalaman Tuaran yang belum menerima hak pemilikan dan geran tanah walaupun telah menetap sejak turun-temurun.
“Saya menggesa agar kerajaan mempercepatkan pelaksanaan menyukat tanah secara PANTAS dan memperkemas prestasi agensi pelaksana,” tegas beliau.
Beliau turut mengalu-alukan perancangan meneruskan program ini dalam RMK-13, namun menyeru agar penambahbaikan dilakukan segera agar ketidaktentuan dalam proses penyukatan dan pemilikan tanah adat tidak berlarutan dan menyebabkan kerugian kepada penduduk kampung.