
Angin perubahan politik Sabah kini bertiup kencang, seakan gelora udara atau turbulence yang sedang menggoncang kestabilan landskap politik negeri ini.
Desas-desus pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) semakin kuat kedengaran, dan ramai menjangkakan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, akan mengumumkannya dalam masa terdekat.
Walau cepat atau lambat, pembubaran tetap akan berlaku.
Namun yang menjadi persoalan besar ialah percaturan politik dan penjajaran semula (realignment) yang bakal berlaku antara parti-parti utama di Sabah.
Baru-baru ini, rakyat Sabah dikejutkan dengan pengumuman rasmi dua parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) , STAR dan SAPP yang mengambil keputusan keluar daripada gabungan tersebut.
Walaupun langkah itu telah dijangka oleh banyak pemerhati politik, kesannya terhadap kekuatan GRS menjadi bahan perdebatan.
Ada yang berpendapat keluarnya kedua-dua parti itu tidak menjejaskan GRS, malah mungkin mengurangkan beban atau liabiliti politik dalam gabungan tersebut.
Kini muncul pula tanda-tanda bahawa STAR dan SAPP akan bertanding secara solo, sekaligus bakal mencipta pertandingan berbilang penjuru (multi-cornered contests) yang lazim dalam politik Sabah.
Namun, berdasarkan bacaan semasa, hampir semua penganalisis politik berpandangan tiada satu pun parti di Sabah yang berupaya membentuk kerajaan secara dominan selepas PRN-17.
Dengan kewujudan kira-kira 20 parti politik berdaftar dan layak bertanding, keperluan membentuk gabungan pasca-pilihan raya (post-election coalition) dilihat sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Maka timbul persoalan besar apakah mungkin akan lahir satu poros baharu seperti “Gabungan Madani Sabah” yang menghimpunkan PH + BN + GRS + WARISAN di bawah satu bumbung?
Sekiranya ini menjadi realiti, maka landskap politik negeri ini akan berubah secara signifikan, memperlihatkan usaha penyatuan demi kestabilan pentadbiran negeri seiring kerajaan Persekutuan.
Namun, persoalan paling menarik pastinya mengenai siapa calon Ketua Menteri Sabah jika gabungan itu terbentuk.
Nama-nama yang sedang hangat disebut termasuk Datuk Mustapha Sakmud (Pengerusi MPN PKR Sabah), Datuk Seri Bung Moktar Radin (Ketua UMNO Sabah) dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Presiden WARISAN).
Naratif politik di media sosial kini sarat dengan spekulasi dan tafsiran pelbagai.
Namun realiti di lapangan menunjukkan bahawa dinamika politik Sabah amat unik dan kompleks.
Di peringkat Persekutuan, BN, PH, WARISAN dan GRS duduk bersama dalam kerajaan MADANI, tetapi di Sabah, WARISAN dan GRS masih kekal sebagai seteru politik.
Keadaan ini mencipta fenomena politik “dua realiti”, di mana tokoh seperti Datuk Dr Mohammad Yusof Apdal, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi merangkap Ahli Majlis Tertinggi WARISAN, berperanan sebagai pemimpin kerajaan di peringkat nasional, namun berstatus pembangkang apabila kembali ke Sabah satu situasi yang kelihatan janggal dan mengelirukan bagi sebahagian rakyat akar umbi.
Berdasarkan pemerhatian, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) dijangka memainkan peranan penting dalam menyatukan parti-parti di bawah payung kerajaan MADANI bagi memastikan kesinambungan antara pentadbiran negeri dan pusat berjalan lancar tanpa gangguan politik dalaman.
Namun seperti lazimnya dalam politik Sabah, segala kemungkinan tetap terbuka.
Perubahan penjajaran, strategi calon, dan rundingan pasca-PRN boleh mengubah senario dalam sekelip mata.
Sebagai rakyat Sabah, tanggungjawab kita jelas turun mengundi dan tunaikan hak demokrasi.
Masa depan negeri ini tidak hanya ditentukan oleh elit politik, tetapi oleh satu kertas undi yang menjadi suara rakyat.
PENAFIAN:
Artikel ini ditulis berdasarkan analisis bebas dan tidak mewakili mana-mana parti politik.
Ia sekadar pandangan dan ramalan daripada pemerhati politik tempatan berdasarkan situasi semasa.
Penulis pernah berkhidmat dengan ahli politik Sabah dan bertugas sebagai wartawan sejak tahun 2010.
TINJAUAN POLITIK #DeasokaMemilihSabah2025