KOTA KINABALU: Isu pelaksanaan penuh hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk pemberian khas 40 peratus hasil bersih, tidak boleh lagi dilengahkan selepas hampir lima dekad tertangguh, kata Ahli Dewan Negara (Senator) Datuk Bobbey Suan.
Menurutnya, keputusan Mahkamah Tinggi pada Oktober 2025 yang memihak kepada Sabah Law Society (SLS) harus menjadi asas kepada penstrukturan semula hubungan fiskal antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah.
Katanya, Sabah menyambut baik komitmen Kerajaan Persekutuan melalui peruntukan RM6.9 bilion kepada Sabah, jumlah tertinggi dalam sejarah negeri itu, serta kenaikan Geran Khas Interim kepada RM600 juta sebagai sebahagian daripada usaha penyelesaian MA63.
Beliau berkata, MA63 bukan sekadar tuntutan politik negeri, tetapi asas kewujudan Sabah dalam Persekutuan Malaysia.
Bobbey berkata keputusan Mahkamah Tinggi yang menegaskan kewajipan Persekutuan melaksanakan pemberian berdasarkan Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan mengembalikan keyakinan rakyat Sabah terhadap hak mereka.
“Hak ini telah terabai hampir 50 tahun tanpa semakan dan pembayaran yang sepatutnya. Keputusan ini bukan hanya kemenangan SLS, tetapi kemenangan rakyat Sabah yang sudah terlalu lama menunggu kejelasan,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 (Belanjawan Madani) di Dewan Negara, Kuala Lumpur pada Isnin.
Bobbey menegaskan usaha memuktamadkan pelaksanaan 40% tidak boleh terus tertangguh dan mesti digerakkan melalui formula pengiraan tetap dan berlandaskan perlembagaan, mekanisme telus dan teratur dan jadual pembayaran berkala yang tidak akan berubah mengikut pertukaran pentadbiran.
Beliau menambah bahawa Sabah amat memerlukan keupayaan fiskal yang konsisten untuk menangani isu kritikal seperti krisis air, kelemahan rangkaian elektrik, pembangunan infrastruktur luar bandar, pendidikan dan modal insan.
Bobbey memberi peringatan kepada Dewan mengenai dua insiden besar pada tahun 2025 yang menjejaskan keupayaan tenaga Sabah dan mengorbankan produktiviti negeri.
“Pertama, catuan elektrik seluruh Sabah pada Ogos 2025 akibat penyelenggaraan Terminal Gas Petronas Kimanis yang mengakibatkan kehilangan kapasiti 195 MW. Lebih 600,000 isi rumah, termasuk 200,000 pengguna domestik, terjejas selama tujuh hari. Kesan ekonomi dan sosial amat besar — perniagaan terhenti, hospital beroperasi dengan risiko tinggi, dan masyarakat menghadapi kesukaran seharian.
“Kejadian kedua melibatkan Pantai Timur Sabah apabila talian penghantaran 275 kV Kolopis–Segaliud runtuh, menyebabkan kawasan seperti Sandakan, Lahad Datu, Tawau, Semporna, Kunak dan Beluran mengalami gangguan besar sehingga kerugian produktiviti mencecah jutaan ringgit. Insiden-insiden ini membuktikan bahawa Sabah memerlukan rangkaian tenaga yang lebih stabil dan resilient”, tegasnya.
Beliau turut mengalu-alukan kelulusan Projek Southern Link dalam Belanjawan 2026, melibatkan pembinaan talian penghantaran 275 kV sepanjang 330 kilometer dari Sipitang–Tenom–Kalabakan hingga Tawau. Projek itu dijangka meningkatkan kestabilan tenaga Pantai Timur sebanyak 200 MW, membantu mengurangkan risiko gangguan berskala besar dan memastikan industri dan pelabur menerima jaminan bekalan elektrik.
“Ramai pelabur sedang menunggu kepastian tenaga. Projek Southern Link mesti disegerakan,” tegasnya.
Bobbey secara terbuka menegur proses pelaksanaan projek pembangunan oleh jabatan Persekutuan yang disifatkannya tidak selari dengan keadaan geografi Sabah.
Menurutnya, walaupun Sabah menerima peruntukan besar setiap tahun, banyak projek gagal dimulakan kerana masa kelulusan teknikal yang panjang, birokrasi tender yang rigid dan kekangan struktur persekutuan dalam meluluskan projek secara tempatan.
“Realitinya, jika Sabah menerima RM5 bilion, hanya RM3 bilion dapat dibelanjakan. Tahun berikutnya kita terpaksa guna peruntukan baharu untuk tampung projek tertangguh”, katanya.
Bagi menyelesaikan masalah itu, beliau memuji langkah Kerajaan Negeri memperkenalkan Tabung Amanah Sabah, yang memastikan lebihan peruntukan tidak kembali ke perbendaharaan Persekutuan.
Sehubungan itu, Bobbey mencadangkan supaya semua peruntukan Persekutuan ke Sabah dimasukkan terus ke dalam Tabung Amanah dan lebihan tahunan tidak lagi ‘hilang’ disamping memastikan projek dapat dilakukan secara berterusan tanpa melambatkan proses kelulusan
“Jika RM5 bilion dibekalkan dan RM3 bilion dibelanjakan, baki RM2 bilion kekal dalam tabung. Tahun berikutnya kita bermula dengan RM7 bilion. Ini sistem paling praktikal dan adil untuk Sabah.”
Beliau turut membangkitkan isu kritikal keselamatan makanan. Tahap Self-Sufficiency Level (SSL) Sabah—22.8%, bermaksud hampir tiga perempat makanan di negeri itu diimport. Kebergantungan ini menjadikan rakyat Sabah terdedah kepada kenaikan harga makanan, kos logistik yang tinggi dan juga risiko kekurangan bekalan ketika krisis global.
“Ini bukan sahaja isu pertanian, tetapi isu kos sara hidup dan keselamatan rakyat,” ujarnya sambil menyeru agar peruntukan kepada petani Sabah ditingkatkan selaras fokus Perdana Menteri terhadap keselamatan makanan negara.
Menurut Bobbey, sektor pelancongan Sabah kini berada pada tahap paling kukuh dengan rekod 3.14 juta pelancong pada 2024, hampir dua kali ganda daripada tahun sebelumnya.
Katanya, Sabah turut merekodkan 100 penerbangan antarabangsa seminggu dengan kapasiti 18,164 penumpang, sebanyak 366 penerbangan domestik seminggu dengan kapasiti 60,303 penumpang.
Beliau menekankan bahawa peningkatan ini sebahagian besarnya disumbangkan oleh Community-Based Tourism (CoBT), yang berjaya membantu menjana peluang kerja di kampung, selain menghidupkan ekonomi desa, melatih komuniti tempatan, serta memastikan limpahan ekonomi sampai terus ke akar umbi.
Bobbey juga menggesa Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan khas bagi mempercepat pembangunan CoBT di Sabah.
“Dengan sokongan yang kukuh, Sabah mampu menjadi model terbaik pelancongan komuniti di Malaysia, bahkan Asia Tenggara,” katanya.
Bobbey juga menegaskan bahawa Belanjawan Madani 2026 hanya akan mencapai matlamatnya jika birokrasi dikurangkan, hak Sabah di bawah MA63 dipenuhi sepenuhnya, dan setiap peruntukan dilaksanakan dengan telus serta berpaksikan kepentingan rakyat.
