KOTA KINABALU: Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS) telah menyerahkan Pendapatan dan Dividen berjumlah RM21.3 juta kepada wakil peneroka dan peserta dari Wilayah Pantai Timur dan Pantai Barat, melibatkan seramai 2,119 peneroka dan peserta bagi tahun berakhir 31 Disember 2025.
Pengurus Besar LKTNS, Datuk Syaheddrul R. Joddari, berkata pencapaian ini direkodkan walaupun industri minyak sawit menghadapi ketidaktentuan pasaran sepanjang 2024 hingga 2025.
“Walaupun berdepan pelbagai cabaran, LKTNS kekal komited memastikan kebajikan peneroka dan peserta terpelihara melalui pengurusan berhemah serta strategi pembangunan yang mampan,” katanya pada Majlis Penyerahan Pendapatan dan Dividen Peneroka LKTNS bagi Tahun 2025 di bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
Majlis itu disaksikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin dan Datuk Seri Panglima Sr Hj Safar Untung, Setiausaha Kerajaan Negeri
Turut hadir Pegawai Perkhidmatan Korporat LKTNS, Haji Fauzie Jamlee, Pengurus Kanan Kewangan (Anak Syarikat) LKTNS, Puan Phun Siew Wee dan 2 wakil peneroka/P
peserta LKTNS iaitu Encik Mohd Adzlie Jaidih (Peserta Ulu Dusun, Sandakan) dan Encik Mohammad Shahrum Nizam (Peserta Sg Manila)
Menurut Syaheddrul, peningkatan agihan pendapatan ini selaras dengan seruan Kerajaan Negeri dan Persekutuan dalam usaha membasmi kemiskinan dan memperkukuh ekonomi masyarakat luar bandar.
“Agihan dividen dan pendapatan ini mencerminkan komitmen berterusan LKTNS dalam memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara inklusif oleh peneroka dan peserta, meskipun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar”, katanya.
