
KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menahan lima wanita warga asing dalam operasi penguatkuasaan di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang, hari ini.
Dalam dua operasi berasingan, empat daripadanya merupakan warga Thailand manakala seorang lagi warga Laos, dipercayai melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi pada 13 Ogos itu melibatkan 25 pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan JIM Sabah.
Beliau berkata, pemeriksaan dilakukan terhadap 16 individu dan lima daripadanya ditahan kerana disyaki menyalahgunakan pas serta melanggar Akta Imigresen 1959/63.
“JIM Sabah akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) dan menggesa masyarakat menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran mereka,” katanya.