
TUARAN : Lima lelaki maut selepas kenderaan jenis Toyota Wish yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori treler di Jalan Sulaman Gayang, berhampiran Pusat Latihan Rela Tuaran, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihak mereka menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 2.09 petang.
“Seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bersama sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS digerakkan ke lokasi diketuai Komander Operasi, PBK I Masri Gari, tiba di lokasi pada jam 2.50 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, enam mangsa terlibat dalam nahas itu termasuk pemandu lori treler.
“Lima mangsa lelaki yang berada di dalam Toyota Wish berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas penyelamat, namun kesemua mereka disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Pemandu lori treler pula tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Mayat semua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi dikawal sepenuhnya pada jam 3.15 petang sebelum ditamatkan lima minit kemudian.