Dalam sejarah moden Sabah, nama Tun Haji Musa Haji Aman terpahat sebagai antara tokoh politik paling berpengaruh dan berwawasan jauh di negeri di bawah bayu ini.
Dari tahun 2003 hingga 2018, beliau bukan sekadar seorang Ketua Menteri, tetapi perancang utama kepada arah pembangunan Sabah yang tersusun, berdaya tahan dan berpaksikan kesejahteraan rakyat.
Di bawah kepimpinannya, Sabah menyaksikan transformasi menyeluruh ,daripada struktur ekonomi hingga ke pembangunan infrastruktur menjadikan tempoh pemerintahannya antara era paling stabil dan makmur dalam sejarah negeri ini.
Tun Musa memahami realiti sebenar Sabah, sebuah negeri yang kaya dengan sumber alam tetapi sering kali tidak menikmati limpahan hasil kekayaan itu.
Beliau menolak kebergantungan kepada hasil balak semata-mata, sebaliknya memperkenalkan pendekatan baharu yang lebih mampan melalui Sabah Development Corridor (SDC) yang dilancarkan pada tahun 2008, menjadikan pelaburan sebagai nadi ekonomi baharu negeri.
SDC bukan sekadar slogan pembangunan, tetapi satu pelan tindakan yang berjaya menarik pelaburan domestik dan asing, membuka zon industri baharu, memperkukuh sektor pelancongan, serta memperluas peluang pekerjaan di seluruh negeri.
Ketika ekonomi global berdepan ketidaktentuan, Sabah di bawah pentadbiran beliau kekal stabil dengan rekod bajet berlebihan hampir setiap tahun ,satu pencapaian luar biasa bagi sebuah negeri yang sebelum ini sering bergantung kepada hasil hutan.
Dengan disiplin fiskal yang tinggi, Tun Musa berjaya menambah hasil negeri tanpa menambah hutang. Langkah ini menjadikan Sabah model tadbir urus kewangan berhemat yang diiktiraf di peringkat nasional.
Dari sudut pembangunan fizikal pula, beliau menekankan pembinaan asas ekonomi jangka panjang melalui pelaksanaan projek strategik seperti Sabah Oil and Gas Terminal (SOGT) di Kimanis, Sabah International Convention Centre (SICC), pembangunan Palm Oil Industrial Cluster (POIC) di Lahad Datu, serta pelaksanaan projek Pan Borneo Highway yang membuka akses ekonomi baharu antara bandar dan luar bandar.
Inisiatif-inisiatif ini bukan sahaja menambah baik infrastruktur, tetapi turut membuka ribuan peluang pekerjaan dan meningkatkan keyakinan pelabur terhadap potensi Sabah sebagai destinasi pelaburan berdaya maju.
Dalam bidang pembangunan insan, kerajaan negeri di bawah Tun Musa turut menumpukan perhatian terhadap pendidikan dan latihan kemahiran. Program vokasional serta bantuan pendidikan diperluas agar anak-anak muda Sabah mampu bersaing dalam ekonomi moden yang berasaskan ilmu dan kemahiran.
Namun kekuatan sebenar Tun Musa bukan hanya pada kemajuan ekonomi, tetapi juga pada kebijaksanaan beliau mengekalkan kestabilan politik Sabah. Sepanjang lebih 15 tahun pemerintahannya, negeri ini berada dalam suasana politik yang tenang dan terkawal.
Hubungan erat antara kerajaan negeri dan persekutuan memastikan pelaksanaan pelbagai projek nasional berjalan lancar tanpa diganggu oleh pergolakan politik dalaman.
Dalam dunia politik Sabah yang terkenal dengan perubahan dan ketidaktentuan, kestabilan sepanjang era Tun Musa adalah bukti ketokohan dan kematangan beliau sebagai seorang negarawan.
Selain itu, Tun Musa juga dikenang sebagai antara pemimpin negeri yang memberi penekanan besar terhadap pemuliharaan alam sekitar.
Keputusan berani beliau menghentikan aktiviti pembalakan di kawasan Hutan Simpan Ulu Segama, Malua dan Kalumpang menjelang akhir 2007 merupakan titik perubahan besar dalam sejarah konservasi Sabah.
Langkah itu menyaksikan 240,000 hektar hutan diletakkan di bawah pengurusan lestari (Sustainable Forest Management), manakala 53% tanah Sabah atau 3.9 juta hektar diwartakan sebagai Hutan Simpan, Kawasan Perlindungan dan Kawasan Pemuliharaan Hidupan Liar. Ini termasuk 30% daripada keluasan negeri sebagai Totally Protected Areas (TPA), jauh melepasi sasaran antarabangsa.
Di bawah dasar SFM itu juga, lebih 600,000 hektar hutan telah dipulihkan dan ditanam semula, menjadikannya antara inisiatif pemulihan hutan tropika terbesar di dunia. Ia menarik kerjasama organisasi antarabangsa seperti The Royal Society (UK), WWF-Malaysia, The Nature Conservancy (USA), dan institusi penyelidikan tempatan, menjadikan Sabah hab utama penyelidikan hutan hujan tropika di rantau ini.
Inilah wajah sebenar kepimpinan Tun Musa Aman ,gabungan antara kemajuan ekonomi, kestabilan politik dan keprihatinan terhadap alam sekitar.
Beliau adalah arkitek kepada pembentukan ekosistem pembangunan Sabah yang moden dan berdaya saing. Projek seperti SOGT, POIC, SICC dan jaringan Pan Borneo Highway kekal menjadi asas penting kepada pertumbuhan negeri hari ini ,menambah baik infrastruktur, merangsang pelaburan, mencipta peluang pekerjaan dan akhirnya meningkatkan taraf hidup rakyat.
Bagi Tun Musa, kepimpinan tidak diukur daripada lamanya seseorang memegang kuasa, tetapi sejauh mana hasil kerja yang ditinggalkan memberi manfaat kepada generasi selepasnya.
Lest we forget ,legasi Tun Musa Aman bukan sekadar tentang tempoh pemerintahan yang panjang, tetapi tentang keberanian, disiplin, dan visi yang menjadikan Sabah berdiri teguh sebagai negeri yang stabil, berdaya tahan dan terus melangkah ke hadapan.
DISCLAIMER:
Artikel ini ditulis berdasarkan analisis bebas dan tidak mewakili mana-mana parti politik. Ia merupakan pandangan dan penilaian daripada pemerhati politik tempatan berdasarkan fakta serta rekod pentadbiran. Penulis mempunyai pengalaman berkhidmat dengan ahli politik Sabah dan telah bertugas sebagai wartawan sejak tahun 2010 hingga kini.
