
TAWAU: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai menetak rakannya menggunakan kapak sehingga menyebabkan kecederaan di kepala dalam kejadian di Kampung Pangkalan Asli, Merotai Besar, semalam.
Mangsa dibawa ke sebuah klinik untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis berhubung kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, susulan laporan diterima, anggota dari Balai Polis Bombalai mengesan suspek di sebuah rumah tanpa nombor di kampung berkenaan.
“Suspek turut membawa polis mendapatkan sebilah kapak yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut. Lelaki tempatan berusia 47 tahun itu bersama barang rampasan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.