TAMPARULI : Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas lori membawa muatan minyak masak terbabas di kawasan Murug-Turug Eco Tourism (MTET) Tamparuli, Jalan Ranau, hari ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 pada jam 1.02 tengah hari sebelum sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 24 kilometer.
Komander Operasi, PBK I Norkizan Durudin @ Nurudin berkata, kemalangan melibatkan sebuah lori jenis Nissan 10 tan yang terbabas sendiri ke bahu jalan.
“Terdapat dua mangsa lelaki terlibat, salah seorang daripadanya berusia 30 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan, manakala seorang lagi berusia 18 tahun mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang cedera telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba, manakala seorang lagi mangsa yang tercampak keluar dibawa naik oleh anggota menggunakan stretcher.
“Mangsa cedera diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut, sementara mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.10 petang selepas pihak bomba memastikan tiada risiko bahaya lain di lokasi kejadian.
