
KUDAT : Seorang lelaki maut manakala dua lagi terselamat selepas dihanyutkan ombak bergelora di perairan Pantai Bangau, Sikuati, berhampiran sebuah.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.46 petang itu, ketiga-tiga mangsa yang bekerja di sebuah kapal penarik pasir hanyut ke laut selepas seorang daripada mereka terjatuh ketika menyambung tali jangkar yang putus akibat laut bergelora.
Dua rakan sekerja terjun ke laut untuk membantu, namun kesemuanya tidak dapat naik semula ke atas kapal kerana ombak kuat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kudat, PPgB Darickson Galanang berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada seorang pekerja syarikat sebelum pasukan penyelamat bergegas ke lokasi.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati ketiga-tiga mangsa berada di tepi pantai dan berjaya diselamatkan. Bagaimanapun, seorang mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Dua lagi mangsa selamat dan diberi rawatan awal,” katanya.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Azman Idris, 31, manakala dua lagi yang selamat ialah Muhammad Haseef Abdul Rahman, 29, dan Aidil Adman Said, 49. Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi melibatkan 12 anggota bomba bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), KKM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) tamat sepenuhnya pada jam 6.43 petang.