
LAHAD DATU : Seorang lelaki ditemukan tidak bernyawa di dalam sebuah kereta yang diparkir di hadapan Masjid Kampung Mesej Nala, Tungku, tengah hari tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau berkata, pihak Balai Polis Tungku menerima panggilan daripada orang awam sekitar jam 12.55 tengah hari berhubung penemuan berkenaan.
“Pasukan polis bersama pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Tungku segera ke lokasi kejadian. Pemeriksaan mendapati mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh Penolong Pegawai Perubatan yang bertugas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan awal di tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah pada tubuh mangsa mahupun di sekitar lokasi.
“Siasatan mendapati seorang saksi ternampak sebuah kereta yang diletakkan di parkir hadapan masjid selepas solat. Saksi mengetuk cermin kereta namun tiada tindak balas sebelum membuka pintu dan mendapati lelaki berkenaan telah tidak sedarkan diri.
“Saksi kemudiannya menghubungi pihak polis dan Pejabat Kesihatan Tungku untuk mendapatkan bantuan,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Lahad Datu bagi tujuan bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR).
Superintendan Jimmy turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian agar tampil menghubungi pegawai penyiasat bagi membantu siasatan lanjut.