
SANDAKAN : Seorang lelaki ditahan oleh pegawai penguat kuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Sandakan selepas disyaki mengemukakan maklumat palsu ketika membuat permohonan daftar lewat kad pengenalan di pejabat berkenaan, pagi tadi.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan JPN Sabah, tangkapan dibuat ketika sesi soal siasat dijalankan oleh pegawai bertugas selepas lelaki itu didapati memberi keterangan mencurigakan dan tidak selaras dengan rekod jabatan.
“Suspek kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan serta tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu.JPN menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang cubaan menipu atau pemalsuan dokumen dalam urusan rasmi kerajaan, khususnya yang melibatkan identiti dan rekod kewarganegaraan.
“Jabatan ingin menasihatkan orang awam supaya sentiasa memberikan maklumat yang benar dan sahih semasa membuat permohonan. Percubaan mengemukakan data palsu bukan sahaja menyalahi undang-undang, tetapi juga boleh mengancam keselamatan negara,” tambah kenyataan itu lagi.
Orang ramai digalakkan merujuk kepada akaun media sosial rasmi JPN Sabah di Instagram, Facebook, TikTok dan X untuk mendapatkan maklumat sahih berkaitan perkhidmatan jabatan, sekali gus mengelak penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab.
JPN Sabah turut menyeru semua pihak agar memainkan peranan dalam mengekalkan integriti sistem pendaftaran negara, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani dan gagasan KDN Sejahtera Madani.