
TAWAU : Seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan polis selepas disyaki memukul, mencekik dan mengugut bunuh isterinya dalam kejadian di rumah mereka, Selasa lalu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang ketika pasangan itu dipercayai berselisih faham.
“Suspek, seorang warga tempatan, didakwa mencekik dan memukul mangsa sehingga menyebabkan bengkak pada telinga kanan serta bahagian atas pipi. Suspek juga mengugut mangsa dengan kata-kata ancaman bunuh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang berusia 31 tahun membuat laporan polis pada jam 9.16 pagi semalam sebelum sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau menahan suspek kira-kira jam 5 petang di kawasan tempat letak kereta di hadapan sebuah bank di bandar ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
Champin turut menasihatkan orang ramai, khususnya mangsa keganasan rumah tangga, supaya tidak berdiam diri dan segera membuat laporan kepada pihak polis kerana tindakan awal mampu menyelamatkan nyawa serta mengelakkan insiden lebih serius.