LAHAD DATU : Seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Lahad Datu selepas polis merampas 50 kilogram serbuk ketum dalam satu operasi di Jalan Kampung Terusan, Jalan Silam.
Suspek yang memandu Proton X50 cuba melarikan diri ketika didatangi pasukan operasi namun berjaya diberkas. Pemeriksaan ke atas kenderaan menemui serbuk ketum dibungkus dalam plastik kecil berlogo Joker serta 22 botol ubat batuk jenama Dynadryl Syrup bersaiz 100 mililiter.
Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM4,250. Ujian awal air kencing ke atas suspek mendapati keputusan negatif dadah.
Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga 4 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Menurut Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Haji Dzulbaharin Haji Ismail operasi ini menunjukkan komitmen berterusan bersama seluruh warga IPD dalam memerangi jenayah berkaitan dadah di daerah ini.
