created by photogrid
LAHAD DATU : Seorang lelaki tempatan yang masih dalam tempoh parol penjara ditahan polis selepas disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam operasi di sekitar Jalan Reno Fajar, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Haji Dzulbaharin Haji Ismail berkata, suspek berusia 33 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu sekitar jam 1.00 petang hasil pelaksanaan Op Tapis.
“Hasil pemeriksaan mendapati satu paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 0.24 gram serta satu gulung kertas timah (foil) dijumpai bersama suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, ujian saringan awal air kencing terhadap suspek didapati negatif namun semakan lanjut mendapati lelaki berkenaan mempunyai beberapa rekod jenayah lampau termasuk kes curi, pecah rumah, rompakan serta kesalahan dadah dan kini masih dalam tempoh parol.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Tambah beliau, pada hari sama sekitar jam 5.00 petang, pasukan BSJND Lahad Datu turut menahan seorang lelaki warga Indonesia berusia 31 tahun di lokasi berhampiran selepas didapati memiliki dadah jenis sama seberat 5.10 gram yang disembunyikan di dalam kotak rokok.
“Suspek warga asing itu turut didapati positif Methamphetamine dan Amphetamine hasil ujian saringan air kencing dengan anggaran nilai rampasan dadah sebanyak RM561,” katanya.
Kes kedua disiasat di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kedua-dua suspek kini ditahan dan permohonan reman akan dibuat bagi meneruskan siasatan lanjut.
ACP Dzulbaharin berkata, kejayaan tangkapan ini mencerminkan komitmen berterusan pihak polis dalam memerangi penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini.
