
KOTA KINABALU : Seorang lelaki berusia 35 tahun cedera selepas terjatuh di atas bumbung sebuah kereta di hadapan Bangunan KK Plaza, di sini, tengah hari tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu melalui talian balai pada jam 11.54 pagi.
“Seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu bersama sebuah jentera FRT digerakkan ke lokasi dan tiba pada jam 12.01 tengah hari. Operasi diketuai Komander Operasi, PBK I Masri Gari,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapati mangsa berada di atas bumbung sebuah kereta.
“Pasukan bomba bertindak mengangkat mangsa menggunakan peralatan khas sebelum menyerahkannya kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut,” katanya.
Operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan selesai sepenuhnya pada jam 12.30 tengah hari setelah keadaan disahkan selamat.
Mangsa dilaporkan cedera dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.