SEMPORNA : Polis menahan seorang lelaki berusia dalam lingkungan 40-an selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah di kawasan Kg Sri Jaya Semporna pada 21 Oktober lalu.
Dalam kenyataan hari ini, Pemangku Ketua Polis Daerah Semporna, DSP Jaafar Hakim, berkata suspek bukan warganegara itu ditahan sekitar jam 11.30 pagi hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Semporna dengan bantuan anggota Balai Polis Pulau Bum-Bum.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek membawa beg silang warna hitam bertulis New York, Los Angeles, Tokyo, London, Paris dan di dalamnya terdapat satu bungkusan plastik hitam berisi empat peket plastik kecil berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu,” katanya.
Anggaran berat kasar rampasan adalah 200.54 gram syabu dengan nilai pasaran RM22,059.40.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.
DSP Jaafar menegaskan pihak polis memandang serius kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah serta menyeru orang ramai menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membanteras gejala itu di daerah Semporna.
