
KOTA KINABALU : Exco Pemuda Barisan Nasional Malaysia, Dato’ Sri Dr Anil Sandhu, membidas kenyataan Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Chin Su Phin, yang mendesak agar Ketua Pemuda UMNO merangkap Ketua Pemuda BN Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, dihalang daripada memasuki Sabah.
Menurut Anil, isu yang dibangkitkan oleh Chin berlaku di Semenanjung dan tidak ada kaitan langsung dengan Sabah. Malah, katanya, perkara itu telah reda lebih seminggu tanpa menjejaskan keamanan serta keharmonian negeri ini.
“Tidak wajar isu ini dibawa masuk ke dalam politik Sabah seolah-olah negeri ini terlibat sama. UMNO adalah sebahagian daripada Kerajaan Madani yang memacu agenda perpaduan, pembangunan dan kebajikan rakyat. Mengapa pemimpin muda yang tegas memperjuangkan isu nasional mahu diperlakukan seolah-olah pengganas yang perlu dihalang masuk ke Sabah?” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Anil menegaskan Dr Akmal bukan sembarangan figura, sebaliknya seorang pejuang sejati untuk negara dengan rekod jasa besar kepada rakyat, khususnya generasi muda.
“Jasa dan pengorbanan beliau dalam membela rakyat tidak boleh dinafikan. Daripada isu kebajikan hingga memperjuangkan kepentingan negara, sumbangan beliau sudah terbukti,” katanya.
Beliau dalam masa sama menasihati Chin supaya tidak membesarkan isu yang sudah reda, sebaliknya menumpukan perhatian kepada usaha memperkukuh parti LDP serta menjaga kebajikan rakyat.
“Kita hormati suara semua parti, tapi sekarang sudah tenang jadi tidak perlu memanaskan lagi isu. Kalau kamu tidak mahu Dr Akmal bersuara, jadi kamu juga jangan cuba bersuara,” tegasnya.
Anil berkata Sabah tidak wajar dijadikan medan “politik alih isu”, lebih-lebih lagi bagi perkara yang berpunca dari luar negeri ini.
“Pemimpin ada tanggungjawab lebih besar, iaitu menjaga kestabilan politik dan mengutamakan rakyat. Barisan Nasional, khususnya Pemuda, kekal komited bersama rakyat Sabah membina negeri dan negara dengan semangat perpaduan, bukannya sekatan atau larangan yang memecahbelahkan,” katanya.