LAHAD DATU : Dalam usaha menghangatkan kempen Melawat Malaysia 2026 “Truly Asia”, Seri Borneo tampil dengan inisiatif segar apabila melancarkan Mystical Bayu 2025 – sebuah program pelancongan holistik yang menghimpunkan barisan influencer terkenal, media serta rakan strategik bagi memperkukuh imej Lahad Datu sebagai destinasi wajib kunjung di Sabah.
Dengan tema “Discover Lahad Datu”, program yang berlangsung dari 5 hingga 7 Disember di Segama Village Stay itu mengetengahkan pengalaman pelancongan menyeluruh merangkumi keindahan alam, budaya dan komuniti setempat.
Pengarah Urusan Seri Borneo, Puan Mariati Binti Uttoh, berkata penglibatan influencer seperti Saiful Zero @ Melati, Sakinah, Edwan Abo, Qahirah dan Saiful Maun menjadi pemangkin utama dalam mengetengahkan keunikan Lahad Datu kepada khalayak lebih luas.
“Kami memilih influencer dan media kerana pengaruh mereka mampu memberi lonjakan besar kepada industri pelancongan Lahad Datu. Kehadiran Sakinah yang mempunyai pengikut besar di media sosial turut diyakini membawa impak positif,” katanya.
Turut memeriahkan majlis, CEO KRA4 Tour and Travel, Puan Anita Misuari, selaku rakan strategik, manakala Tourism Malaysia tampil sebagai penaja utama.
Seramai 30 peserta terdiri daripada pencipta kandungan dan pengamal media dipilih menyertai program tiga hari itu bagi meneroka tarikan di Segama, Silam dan sekitar bandar Lahad Datu termasuk alam semula jadi, warisan budaya, makanan tradisi dan produk komuniti.
Puan Mariati berkata walaupun Lahad Datu sudah dikenali kerana keindahan semula jadinya, aspek budaya setempat masih belum diterokai sepenuhnya.
“Melalui platform Mystical Bayu, kami mahu menggabungkan ‘nature’ dan ‘culture’ dalam satu naratif pelancongan baharu yang lebih menyeluruh,” jelasnya.
Inisiatif itu turut mendapat sokongan penggiat industri dari Pantai Barat Sabah termasuk Kudat, Kota Belud dan Sipitang, yang hadir untuk memperkukuh kerjasama sekaligus mempromosikan Lahad Datu sebagai destinasi pelancongan terbaik negeri.
Menurutnya lagi, program ini menjadi permulaan kepada kempen yang lebih besar pada tahun-tahun mendatang.
“Ini baru pembuka tirai. Lahad Datu adalah destinasi selamat, penuh keunikan dan kaya potensi. Kami yakin usaha ini akan menarik lebih ramai pelancong domestik serta antarabangsa,” katanya.
