
KUCHING: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah membina dan menaiktaraf sebanyak 39 premis Tamu Desa di seluruh Sarawak dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM7,849,393 sepanjang tahun lalu.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata pelaksanaan projek tersebut dilaksanakan secara berfasa dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) yang terlibat.
“Bagi Fasa 1, sebanyak 13 projek Tamu Desa telah dilaksanakan dengan kos berjumlah RM1,995,000. Semua projek di bawah fasa ini telah pun siap sepenuhnya.
“Manakala Fasa 2 pula melibatkan 26 projek Tamu Desa dengan jumlah peruntukan sebanyak RM5,854,393.
“Antara projek yang sedang dilaksanakan termasuk Tamu Semarak dan Tamu Sukma, yang dijangka siap pada Ogos ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Premis Tamu Desa Sungai Apong, di sini, hari ini.
Ewon berkata penaiktarafan Tamu Sungai Apong disiapkan secara berfasa iaitu dengan peruntukan sebanyak RM116,000 di bawah Fasa 1 dan RM300,000 di bawah Fasa 2.
“Inisiatif ini bertujuan memperkukuh ekosistem keusahawanan melalui penyediaan infrastruktur niaga yang lebih kondusif kepada para usahawan desa, khususnya di Sarawak,” katanya.
Katanya lagi, pelaksanaan Projek Pembangunan Premis Tamu Desa di bawah KUSKOP adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kementerian dalam memperkasakan ekonomi komuniti luar bandar dan menggalakkan penyertaan aktif usahawan kecil dalam sistem ekonomi setempat.
Ewon berkata, secara keseluruhan, sebanyak 100 projek Tamu Desa telah dilaksanakan di Sabah dan Sarawak dalam Fasa 1 dan Fasa 2, tahun lalu, melibatkan 61 projek di Sabah dan 39 di Sarawak.
“Tahun ini, KUSKOP akan meneruskan pembinaan Tamu Desa di Sabah dan Sarawak.
“Bagi Sabah, sebanyaj 46 Tamu Desa telah dikenal pasti untuk dibina atau dinaik taraf pada tahun ini, melibatkan peruntukan sebanyak RM10 juta. Ini tidak termasuk tambahan RM10 juta yang diumumkan oleh Perdana Menteri semasa lawatan ke Tawau baru-baru ini.
“Bagi Sarawak, saya akan mengadakan perbincangan dengan Timbalan Premier Sarawak untuk mendapatkan senarai keperluan projek Tamu Desa yang akan dibina tahun ini.
“Setakat ini, saya hanya menerima beberapa permohonan daripada empat Ahli Parlimen Sarawak yang saya kena bincang dengan Timbalan Premier supaya permohonan mereka juga dipersetujui oleh kerajaan Sarawak.
“Pada tahun lepas, Kerajaan Sarawak memilih untuk memulakan projek ini di kawasan yang ditadbir oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Majlis Perbandaran serta kawasan pedalaman yang dipohon oleh Ahli Parlimen kawasan berkenaan,” katanya.