
KENINGAU: Kelab Belia Keningau menyambut baik pengumuman penambahan 10 kuota khas Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan diperuntukkan kepada golongan belia di seluruh negeri.
Pengerusinya, Encik Syafiee Haji Ludi, berkata langkah kerajaan negeri itu merupakan inisiatif tepat pada masanya dan sangat bermakna bagi membantu belia memiliki kediaman sendiri, khususnya mereka yang baru memulakan kehidupan berkeluarga atau bekerja.
“Usaha ini bukan sahaja memberi kelegaan kepada belia luar bandar, malah membuktikan keprihatinan kerajaan negeri terhadap cabaran kos sara hidup serta kemampuan memiliki rumah dalam kalangan generasi muda,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau mengulas pengumuman Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor di Pitas semalam, bahawa tambahan 10 unit Rumah Mesra SMJ di setiap kawasan DUN kepada golongan belia yang baru mendirikan rumah tangga, mulai tahun depan.
Hajiji berkata, tambahan itu menjadikan sebanyak 50 unit Rumah Mesra SMJ akan dibina di setiap kawasan DUN mulai tahun depan berbanding sebanyak 40 unit pada tahun ini.
“Tahun ini kita bagi 40 buah Rumah Mesra SMJ dan tahun depan kita usaha sebanyak 50 unit di setiap DUN untuk rakyat yang susah.Tambahan sebanyak 10 unit itu adalah untuk orang muda yang susah dan baru berkahwin kerana faham ada anak muda yang baru berkahwin masih tinggal di rumah keluarga,” katanya.
Menurut Syafiee, kemudahan itu diyakini dapat mengurangkan beban golongan muda yang selama ini berdepan kesukaran memiliki rumah akibat kekangan kewangan dan harga pasaran yang tinggi.
“Dengan adanya kuota khas ini, lebih ramai belia di kawasan pedalaman termasuk di Keningau berpeluang menetap di rumah sendiri tanpa perlu menunggu terlalu lama,” katanya.
Syafiee berkata, Kelab Belia Keningau juga komited bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan bagi memastikan golongan belia mendapat maklumat tepat dan peluang sama rata untuk memohon skim perumahan berkenaan.
“Kelab Belia akan berperanan sebagai penyampai maklumat dan penghubung agar tiada belia tercicir daripada peluang yang telah disediakan kerajaan,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan keyakinan bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinan Hajiji akan terus memberi perhatian kepada agenda pembangunan belia.
“Kami percaya, dengan sokongan berterusan daripada kerajaan negeri, kesejahteraan serta masa depan anak muda Sabah akan lebih terjamin dan stabil,” katanya.