
PUTATAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan Negeri tidak akan berganjak daripada komitmennya untuk terus menjaga kepentingan belia di Sabah.
“Justeru, pembangunan belia telah dimasukkan sebagai salah satu tonggak pembangunan negeri dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.
“Belia bukan sekadar penerima manfaat, tetapi juga ejen perubahan. Dalam dunia yang
penuh cabaran, golongan muda mesti menjadi pemimpin keharmonian masyarakat, penjaga warisan budaya serta penyokong kemajuan teknologi,” katanya.
Berucap pada Program Anak Muda di Dewan Sri Putatan di sini hari ini, Ketua Menteri
sekali lagi menegaskan bahawa Kerajaan Negeri telah merangka pelbagai inisiatif untuk belia.
“Kita mesti memahami keperluan mereka dan kita akan terus merangka pelan untuk golongan belia,” katanya.
“Bagi tempoh 2021–2025, sebanyak 14 inisiatif baharu telah diperkenalkan melibatkan peruntukan sebanyak RM164.14 juta, yang telah memberi manfaat kepada 210,918 pelajar,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri telah melaksanakan banyak inisiatif termasuk geran belia, latihan kemahiran, serta program inovasi dan keusahawanan bagi memastikan anak muda Sabah mempunyai platform untuk berkembang.
“Hari ini, penyerahan Geran Program Anak Muda berjumlah RM300,000 adalah bukti komitmen kita untuk menyokong idea dan projek yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
“Gunakanlah geran ini sebaik mungkin untuk melaksanakan program yang membawa
manfaat kepada belia di kawasan masing-masing,” katanya.
Geran tersebut akan diagihkan kepada NGO belia di kawasan Dewan Undangan Negeri Tanjung Aru, Petagas dan Tanjung Keramat dalam Parlimen Putatan.
Hajiji berkata, pembangunan Sabah tidak akan berjaya sekiranya generasi muda tidak diberikan ruang, peluang dan sokongan kukuh untuk berkarya, berinovasi dan memimpin.
Beliau turut mengingatkan golongan belia supaya tidak mudah terpedaya dengan fitnah dan pembohongan yang disebarkan oleh pihak pembangkang di media sosial.
Dalam majlis yang sama, Hajiji turut menyaksikan penyerahan warta Tanah Perkuburan Taman Sempelang, Sembulan daripada Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur, Datuk Bernard Liew kepada Yang DiPertua MUIS Datuk Yahya Hussin.
Terdahulu, Hajiji diiringi Timbalan Ketua Menteri, Datuk Shahelmey Yahya yang juga Ahli Parlimen Putatan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari, melawat tapak pembinaan Rumah Mesra SMJ untuk mangsa kebakaran di Kampung Petagas.