
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengumumkan dua inisiatif baharu bagi menambah baik program pembangunan belia yang lebih berimpak besar kepada anak muda.
Dua program yang akan dilaksanakan bersama Kementerian Belia dan Sukan Sabah dan Majlis Belia Sabah ialah penubuhan Majlis Tindakan Belia Sabah dan Pemikir Muda Ketua Menteri.
Katanya, Majlis Tindakan Belia Sabah adalah sebuah badan pelaksana yang bertanggungjawab terhadap pembangunan dan kesejahteraan belia secara inklusif dan bersepadu.
“Inisiatif kedua, iaitu Pemikir Muda Ketua Menteri pula dijadikan sebagai platform baharu bagi anak muda menyalurkan pandangan, idea serta aspirasi mereka secara langsung kepada kerajaan negeri.
“Jadi, anak muda Sabah bersedialah apa yang mereka mahu sampaikan kepada kerajaan untuk dilaksanakan bagi manfaat belia dan rakyat Sabah keseluruhannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Tamu Suara 360: Aspirasi Anak Muda Sabah 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Sabtu.
Mengenai program Tamu Suara 360, Hajiji berkata ia menjelaskan bahawa anak-anak muda Sabah memerlukan lebih banyak peluang dan ruang yang sesuai dengan bakat serta potensi mereka.
“Tamu Suara 360 ini bukan sekadar program, ia adalah wahana keyakinan bahawa suara belia tidak akan berakhir di sini sahaja. Saya mahu setiap kritikan, cadangan, keresahan dan impian yang dilontarkan sepanjang program ini diangkat menjadi dokumen bernyawa, diperhalusi, diterjemah dan dipertahankan hingga menjadi dasar,” katanya.
Pada program itu, beliau turut berkongsi kepada anak muda mengenai usaha yang dijalankan kerajaan untuk membantu golongan belia, khususnya berkaitan pembangunan modal insan dan pendidikan.
Katanya, selama empat tahun lalu kerajaan pimpinannya berbelanja RM1.3 bilion bagi membangunkan modal insan dan pendidikan menerusi pelbagai program bantuan dan inisiatif yang berkaitan.
“Biasiswa juga ditingkatkan dan kita akan tambah lagi tahun depan, tahun ini kita bagi 12,000 orang dapat biasiswa masing-masing 5,000 kepada Bumiputera Islam, 5,000 Bumiputera bukan Islam dan 2,000 kepada masyarakat Cina.
“Tapi, itu masih tidak cukup, kerana itu kita tubuh lagi Tabung Pendidikan Sabah yang mana anak Sabah dari keluarga kurang mampu jika belum dapat biasiswa, kita akan bantu melalui tabung itu. Lebih 10,000 sudah dibantu setakat ini,” katanya.
Hajiji turut berkongsi perjalanan pentadbiran kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang berdepan pelbagai cabaran sebelum berjaya menstabilkan kerajaan dan ekonomi sepanjang lima tahun lalu menerusi Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Beliau meminta anak muda membantu kerajaan menjelaskan apa yang dibuat oleh kerajaan dan pencapaian yang dilakar kepada rakyat agar mendapat maklumat yang tepat dan jelas bagi menepis fitnah pihak lawan.
“Saya minta suara anak muda jelaskan kepada rakyat apa yang kerajaan buat, tidak adil kepada kami yang bertungkus-lumus dapatkan hasil tinggi dan kembalikan kepada rakyat kita, tapi difitnah macam-macam oleh pembangkang,” katanya.