KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan khas bagi menangani isu tiga serangkai – jalan raya, air dan elektrik di Sabah pada tahun hadapan.
“Isu-isu ini merupakan keutamaan Kerajaan Negeri,” katanya ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan Negeri 2026 di Dewan Undangan Negeri hari ini.
Hajiji berkata Belanjawan Negeri tahun hadapan meneruskan matlamat untuk meningkatkan taraf hidup rakyat secara keseluruhan.
“Kita akan meneruskan program-program bagi meningkatkan kesejahteraan golongan kurang bernasib baik selain pembangunan pendidikan dan modal insan pada tahun depan,” katanya.
Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun telah membentangkan Belanjawan Negeri lebihan dengan perbelanjaan sebanyak RM6.402 bilion berbanding anggaran hasil RM6.430 bilion untuk tahun hadapan.
Kementerian Kerja Raya dan Utiliti, yang bertanggungjawab ke atas jalan raya, bekalan air dan elektrik, telah diperuntukkan sebanyak RM1.122 bilion untuk pembangunan tahun depan.
